Football

Derby Lembah Klang kembali di Piala Malaysia

Derby Lembah Klang akan kembali dalam aksi Piala Malaysia tahun ini selepas Selangor dan Kuala Lumpur diletakkan di dalam Kumpulan B bersama Pahang dan Kelantan dalam majlis undian yang dijalankan malam semalam.

Kesemua pasukan dalam kumpulan tersebut pernah muncul sebagai juara Piala Malaysia dan penyokong bakal disajikan dengan perlawanan sengit dalam kejohanan yang bakal bermula di pertengahan Julai nanti.

KL kini sedang beraksi dengan baik dalam saingan Liga Premier selepas melalui musim yang mengecewakan pada musim lalu dan pastinya mereka bersemangat untuk menunjukkan kebolehan mereka selepas sekian lama tidak beraksi dalam Piala Malaysia.

“Tiada pasukan yang mudah dalam Piala Malaysia. Kami mahu kekalkan kejuaraan dan kami perlu berusaha dengan lebih keras untuk memenanginya lagi,” kata pertahanan Selangor Razman Roslan.

Dalam Kumpulan A, T-Team diletakkan bersama naib juara musim lalu, Kedah, Sarawak dan JDT II.

Jurulatih T-Team Rahmad Darmawan berkata: “ Kami telah tewaskan Kedah dan Sarawak dalam Liga Super, tetapi kami tidak boleh ambil mudah dalam saingan Piala Malaysia.

“JDT II yang beraksi dalam Liga Premier boleh membuat kejutan kerana mereka mempunya pemain berkualiti, dan beraksi dengan baik sejak kebelakangan ini,” jelas Rahmad.

Felda, yang berada di tangga kedua Liga Super diletakkan di dalam Kumpulan D bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan pendahulu Liga Premier, Melaka United. Ini kali pertama Melaka beraksi dalam Piala Malaysia sejak kali terakhir membuat penampilan pada tahun 2009.

“Berdasarkan pengalaman saya, tidak ada perlawanan mudah dalam Piala Malaysia. Kejohanan ini membuatkan semua pasukan mahu beraksi dengan baik walaupun prestasi pasukan itu tidak berapa baik dalam saingan liga,” jelas ketua pasukan Felda United Shukor Adan.

JDT pula pastinya mahu menjulang Piala Malaysia, apatah lagi ini satu-satunya piala yang masih belum pernah mereka menangi dalam Liga Malaysia. Anak buah Mario Gomez diletakkan di dalam Kumpulan C bersama PKNS, PDRM dan Perak.

Undian setiap kumpulan adalah seperti berikut:

Kumpulan A: T-Team, Kedah, Sarawak, JDT II

Kumpulan B: Selangor, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur

Kumpulan C: JDT, PDRM, Perak, PKNS

KuKumpulan D: Felda United, Terengganu, Melaka United, Negeri Sembilan

Other posts by