Diving

“Saya akan menjalani latihan di luar negara” – Pandelela fokus pada Rio

PUTRAJAYA: Kejayaan memenangi Anugerah Olahragawati Kebangsaan di Majlis Anugerah Sukan Negara 2015 memberi inspirasi kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong untuk membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik 2016 di Brazil, Ogos ini.

Penerjun berusia 23 tahun itu, yang sebelum ini memenangi anugerah tersebut pada tahun 2011 dan 2013, berkata fokusnya sekarang adalah untuk meningkatkan prestasi terjunan beliau dalam tempoh tiga bulan terakhir menjelang kejohanan sukan terbesar dunia itu.

“Ini anugerah ketiga saya dan saya rasa sangat gembira, dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya.

“Selepas ini tiada sebarang kejohanan, tumpuan saya sepenuhnya kepada latihan dan persiapan untuk Rio. Saya mungkin akan menjalani latihan di luar negara dalam masa terdekat,” ujar beliau kepada wartawan selepas merangkul anugerah tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam semalam.

Sementara itu, atlet silat negara Mohd Al Jufferi Jamari yang dinamakan Olahragawan Kebangsaan, menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu kejayaan kepada sukan silat, yang kurang diberikan perhatian berbanding sukan lain.

“Saya gembira kerana memenangi anugerah ini selepas hanya tersenarai dalam enam terbaik dua edisi sebelum ini.

“Anugerah ini juga akan memberi inspirasi kepada atlet silat lain untuk menaikkan nama negara di mata dunia,” jelas anak jati Kuantan, Pahang itu, yang memenangi pingat emas dalam kategori Putera E (65-70kg) di Kejuaraan Silat Dunia edisi ke-16 di Phuket, Thailand tahun lepas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyampaikan piala pusingan, sijil dan wang tunai berjumlah RM 20,000.

Turut hadir adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Other posts by