Badminton

Jing Yi berdebar tunggu keputusan BAM

Keputusan sama ada Tee Jing Yi akan beraksi di Sukan Olimpik di Rio de Janeiro Ogos ini akan diumumkan hari ini. Ahli jawatankuasa kejurulatihan dan latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan bermesyuarat untuk memutuskan sama ada Jing Yi sudah cukup cergas untuk bertanding di temasya sukan berkenaan.

Pemain perseorangan wanita nombor satu negara itu layak ke Olimpik secara merit namun mengalami kecederaan buku lali dalam pusingan pertama sirkit kebangsaan pada bulan Mei.

Jika pemain No.28 dunia itu tidak dapat beraksi, juara remaja dunia Goh Jin Wei selaku pemain No.2 negara akan mengambil tempatnya.

Pemain berusia 25 tahun itu yakin beliau boleh cergas sepenuhnya selepas menyertai Terbuka Australia awal bulan ini.

Beliau turut berharap dapat bertanding di Terbuka Taiwan yang akan bermula esok di Taipei.

“Saya tidak berfikir sangat (mengenai Rio), tetapi saya berharap dapat bersedia dan cergas untuk beraksi di Olimpik kedua saya Ogos ini.

“Untuk sekarang saya hanya fokus untuk Terbuka Taiwan. Ini kejohana terakhir sebelum Olimpik dan saya harap dapat mencatatkan keputusan baik di situ,” ujar Jing Yi yang membuat debut di Olimpik London 2012.

Di Taipei, Jing Yi akan beraksi di peringkat kelayakan dalam pusingan pertama. Jika menang, beliau akan bertemu pilihan utama Wang Shixian dari China di pusingan kedua.

Selain Jing Yi, pemain muda Ho Yen Mei turut akan beraksi di Terbuka Taiwan. Dia akan bertemu pemain tuan rumah Sung Shuo-yun di pusingan pertama.

Pemain perseorangan lelaki No.2 negara Iskandar Zulkarnain akan mengetuai cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki. Iskandar yang diletakkan sebagai pilihan ke-13 akan berdepan Firman Abdul Kholik dari Indonesia di pusingan pertama.

Pemain lain yang turut serta ada Goh Soon Huat, Liew Daren, Chong Wei Feng, Goh Giap Chin, Tan Chun Seang dan Mohd Arif Abdul Latif.

Other posts by