Golf

Malaysia punyai wakil penuh dalam acara golf di Rio

Malaysia akan mempunyai wakil maksimum dalam acara golf di Sukan Olimpik Rio de Janeiro bulan hadapan menerusi Danny Chia, Gavin Kyle Green (acara lelaki) dan Kelly Tan dan Michelle Koh (acara wanita).

Bintang baru Gavin boleh dianggap bertuah apabila senarai 60 atlet yang layak bagi kedua-dua acara diumum oleh Persekutuan Golf Antarabangsa (IGF) pada hari Isnin.

Danny selaku pemenang dua kali Jelajah Asia layak apabila berada di kedudukan ke-46 sementara Gavin berada di kedudukan kelayakan terakhir bagi acara lelaki.

Kelly yang beraksi di Jelajah LPGA, dan Michelle, yang turut beraksi di Jelajah LPGA China , layak ke Olimpik bagi acara wanita selepas berada di tangga ke-39 dan 57.

Sukan Golf kembali dipertanding di Sukan Olimpik selepas tidak disenaraikan selama 112 tahun.

Kali terakhir acara ini dipertandingkan adalah di Sukan Olimpik 1904 di St Louis, Amerika Syarikat.

Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik kini meningkat ke 32 orang.

Other posts by