Badminton, Rio 2016

Lee Chong Wei pilihan utama acara badminton Olimpik Rio

Pemain badminton nombor satu dunia dan Malaysia Datuk Lee Chong Wei merupakan pilihan utama bagi acara perseorangan di Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Brazil.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata pilihan adalah berdasarkan ranking dunia yang disahkan untuk kelayakan Olimpik dan akan digunakan dalam undian pada 26 Julai.

Undian acara perseorangan lelaki akan melibatkan 41 orang pemain dan acara wanita denhan 40 orang, dipecahkan kepada 13 kumpulan dan setiap kumpulan akan mempunyai satu pemain pilihan.

Sementara itu, undian untuk acara bergu akan mempunyai empat kumpulan yang mempunyai empat bergu dengan setiap kumpulan akan mempunyai bergu pilihan.

Chong Wei yang merupakan naib johan dalam dua temasya Olimpik sebelum ini, diikut rapat oleh pesaing ketatnya Chen Long dan Lin Dan dari China, yang akan diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga.

Pemain pilihan lain dalam acara perseorangan adalah Viktor Axelsen dan Jan Jorgensen (Denmark), Chou Tien (Taiwan), Tommy Sugiarto (Indonesia), Son Wan Ho (Korea Selatan), K. Srikanth (India), Hu Yun (Hong Kong), Marc Zwiebler (Jerman) dan Rajiv Ouseph (England).

Bagi perseorangan wanita, Carolina Marin dari Sepanyol mengetuai pilihan di hadapan dua pemain China, Wang Yihan dan juara bertahan Olimpik, Li Xuerui.

Selain mereka, pemain pilihan wanita adalah Ratchanok Intanon dan Porntip Buranaprasestuk (Thailand), Saina Nehwal dan PV Sindhu (India), Nozomi Okuhara dan Akane Yamaguchi (Jepun), Sung Ji Hyun dan Bae Yeon Jun (Korea Selatan), Tai Tzu Ying (Taiwan) dan Kirsty Gilmour (United Kingdom).

Dalam acara bergu, hanya ada empat dalam tiga acara bergu – bergu lelaki, bergu wanita dan bergu campuran.

Bergu nombor satu dunia, Lee Yong Dae/Yoo Yeong Seong dari Korea Selatan mengetuai pilihan, diikuti juara dunia dari Indonesia Mohamad Ahsan/Hendra Setiawan, satu lagi bergu Korea Selatan Kim Gi Jung/Kim Sa Rang dan bergu China Fu Haifeng/Zhang Nan.

Bagi bergu wanita, pilihan utama adalah Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) diikuti Tan Yuanting/Yu Yang (China), Greysia Polii/Nitya Krishinda Maheswari (Indonesia) dan Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan (Korea Selatan).

Juara bertahan acara bergu campuran Zhang Nan/Zhao Yunle dari China mengetuai pilihan diikuti Ko Sung Hyun/Kim Ha Na (Korea Selatan), juara terbuka Malaysia Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir (Indonesia) dan juara Terbuka Jepun tahun lalu Joachim Fischer Nielsen/Chirstinna Pedersen (Denmark).

Other posts by