Badminton, Rio 2016

Chong Wei mungkin berdepan Lin Dan di separuh akhir Olimpik

Final dua acara badminton perseorangan Olimpik sebelum ini adalah di antara wakil negara Lee Chong Wei dan wakil China Lin Dan tetapi nampaknya pertarungan mereka di Rio mungkin terjadi lebih awal.

Dalam undian perseorangan lelaki untuk Olimpik Rio, pilihan utama Chong Wei mungkin berdepan juara bertahan Olimpik itu di separuh akhir.

Pilihan ketiga Lin Dan akan berdepan tugas sukar untuk mempertahan pingat emasnya apabila dijangka bertemu pilihan kelima Jan O Jorgensen dari Denmark di suku akhir.

Chong Wei pula dilihat mempunyai laluan yang lebih mudah ke separuh akhir apabila dijangka bertemu pilihan keenam dari Taiwan Chou Tien-chen di suku akhir.

Chong Wei, yang membuat penampilan Olimpik keempatnya dan akan berusaha untuk merangkul pingat emas selepas hanya merangkul pingat perak di Beijing dan London sebelum ini, seharusnya melepasi kumpulan A dengan mudah, yang turut disertai Soren Opti dari Surinam dan Derek Wong dari Singapura.

Pemenang setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Chong Wei mendapat bye untuk terus ke peringkat suku akhir sebagai salah seorang dari dua pilihan utama.

Pilihan kedua dan juara dunia Chen Long dari China boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu bertemu rakan senegara sebelum perlawanan akhir.

Chen Long dijangka bertemu wakil Korea Selatan Son Wan-ho di suku akhir.

Pemain No.2 dunia itu dijangka bertemu Viktor Axelsen dari Denmark untuk merebut tempat ke perlawanan akhir.

Bagi acara bergu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berada di dalam kumpulan B bersama wakil China Zhang Nan-Fu Haifeng.

Pilihan keempat dari China itu akan menjadi lawan paling sukar mereka dalam peringkat kumpulan selepas diundi bersama bergu Jerman Michael Fuchs – Johannes Schottle dan gandingan Amerika Syarikat Sattawat Pongnairat – Phillip Chew.

Bergu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dijangka tidak mempunyai masalah untuk ke suku akhir di Rio.

Gandingan No.10 dunia itu seharusnya muncul pemenang peringkat kumpulan dan mara ke peringkat kalah mati selepas diundi di dalam kumpulan C bersama pilihan ketiga Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir dari Indonesia, wakil Australia Robin Middleton-Leanne Choo dan gandingan Thailand Bodin Issara-Savitree Amitrapai.

Mereka dijangka boleh menang ke atas Thailand dan Australia dan mara ke suku akhir selepas gagal berbuat demikian di Olimpik London.

Undian juga berpihak kepada bergu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei selepas diundi berada di dalam kumpulan C bersama pilihan ketiga Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii dari Indonesia, Heather Olver-Lauren Smith dari England dan wakil Hong Kong Poon Lok Yan-Tse Ying Suet.

Other posts by