MotoGP

Tumpuan Super KIP tidak terganggu dengan masalah penajaan

Tumpuan pelumba MotoGP negara, Khairul Idham Pawi dalam persediaan menghadapi baki enam perlumbaan lagi tidak terganggu oleh isu penajaan dan pegawai pengiring.

Pelumba berusia 18 tahun itu terus fokus dengan tugasan sebagai pelumba Moto3 kebangsaan yang mewakili Honda Team Asia.

Khairul Idham, atau lebih dikenali sebagai Super KIP, berkata dia tidak berdepan dengan sebarang maslaah kewangan kerana pasukannya menjaga kebajikan beliau musim ini.

“Saya tidak mempunyai masalah, saya melakukan tugas saya (sebagai pelumba). Pasukan Honda telah menaja saya sepenuhnya dan itu cukup bagi saya.

“Cuma mungkin bapa saya risau. Saya tiada masalah pergi (ke setiap perlumbaan) berseorangan,” kata beliau kepada wartawan, semalam.

Ketika ini, Khairul Idham mempunyai seorang pegawai pengiring yang dikenali sebagai Cik Mat, yang membantu beliau memberi tumpuan penuh untuk berlumba.

Dia berkata dua kemenangan, di Sirkit Argentina pada bulan April dan Sirkit Jerman itu tidak dijangka.

“Saya anggap kemenangan itu sebagai tuah saya. Saya ada banyak perkara lagi untuk dipelajari kerana pelumba lain lebih berpengalaman,” kata anak Kampung Gajah itu yang akan berlumba di Austria pada 14 Ogos ini.

Khairul idham berkata kerjasama yang baik dan komunikasi sangat penting dalam satu pasukan dalam menyediakan mesin yang baik sebelum satu perlumbaan.

“Para mekanik dan saya telah berkerjasama untuk satu tempoh yang lama, oleh itu kami tidak mempunyai masalah komunikasi. Hingga sekarang, semuanya berjalan lancar,hubungan saya dengan semua mekanik juga baik,” kata beliau.

Selepas lapan perlumbaan dengan dua kejuaraaan, Khairul Idham kini di kedudukan ke-10 dunia dengan 54 mata.

Other posts by