Football

Presiden baru JDT mohon penyokong terus beri sokongan kepada pasukan

Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim yang baru dilantik sebagai presiden Johor Darul Ta’zim (JDT) menggesa penyokong Harimau Selatan untuk terus menyokong pasukan.

Tun Aminah, yang mengambil alih pasukan dari Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata penyokong perlu terus memberikan sokongan padu kepada pasukan dan pemain “tanpa mengira apa keputusannya…walaupun pasukan tidak menang sepanjang masa”.

“Anda mungkin tidak menang semua perlawanan…kalah atau menang, kesetiaan dan sokongan anda kepada pemain sangat penting.

“Kadang kala, saya sedar bahawa apabila JDT menang, semua orang gembira…tetapi apabila mereka tewas, tiba-tiba semua menghilang. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mesti ada kesetiaan kepada kelab,” katanya dalam satu sidang media memperkenal beliau sebagai presiden baru JDT di Stadium Larkin pada hari Khamis.

Perlantikan Tunku Tun Aminah sebagai presiden kelab bolasepak JDT diumumkan menerusi laman facebook rasmi kelab berkenaan bulan lau.

Tun Aminah berkata beliau akan membuat sebaik mungkin untuk memperbaiki nasib kelab di masa hadapan.

“Saya sangat terkejut dengan perlantikan sebagai presiden ini, tetapi saya akan buat sehabis baik untuk membantu kelab ini maju ke hadapan,” kata beliau.

Beliau turut berkata bahawa beliau akan memberikan lebih perhatian kepada pembangunan akademi, terutamanya dalam mencari bakat baru untuk JDT.

Beliau turut bercadang untuk menerima saranan dari penyokong untuk menubuhkan pasukan bola sepak wanita JDT di masa hadapan.

Di bawah pimpinan Tunku Ismail, JDT telah berjaya menjulang enam kejuaraan – tempatan dan antarabangsa- sejak penubuhan pasukan itu pada tahun 2013.

Musim lalu, JDT menjadi pasukan Malaysia pertama menjulang Piala AFC. Tahun ini, mereka telah memenangi Piala FA dan dalam saingan untuk memenangi kejuaraan Liga Super untuk musim ketiga berturut.

Other posts by