Football

Maradona kritik persaraan Messi di peringkat antarabangsa

Legenda bolasepak Argentina Diego Maradona telah mengkritik Lionel Messi dan mengatakan persaraan bintang bolasepak Barcelona itu dari pasukan kebangsaan, dan penarikan balik persaraaanya itu dibuat-buat.

“Saya tidak tahu jika ianya dibuat-buat untuk membuatkan kita faham bahawa dia tewas di tiga perlawanan akhir, tetapi kita tidak tewas dengan jaringan yang besar,” kata Maradona kepada stesen radio La Red.

Messi mengumumkan persaraannya dari bolasepak antarabangsa selepas Argentina tewas dalam perlawanan akhir Copa America kepada Chile menerusi penentuan sepakan penalti Jun lalu, dengan bintang Barca itu gagal dalam sepakannya.

“Ini penamat saya bersama pasukan kebangsaan, ini bukan untuk saya,” kata Messi ketika itu.

“Saya rasa itu yang terbaik untuk semua, untuk saya, dan pihak-pihak yang mahukannya. Keputusan untuk saya adalah ianya telah berakhir, itu keputusannya.”

Kekalahan tersebut hadir selepas Argentina tewas di perlawanan akhir Copa America 2015 kepada lawan yang sama dan perlawanan akhir Piala Dunia 2014 kepada Jerman.

Maradona percaya Messi telah bercakap tanpa berfikir dan mengecewakan ramai orang di Argenita dengan komennya.

“Dia rasa marah tanpa sebab. Dia tidak dipersalahkan atas kekalahan itu, tetapi orang lain. Jadi kenapa dia umumkan persaraannya? Dia bercakap terlampau awal, membuatkan semua terus berharap (untuk dia kembali),” tambah Maradona, bintang Argentina yang menjulang Piala Dunia pada tahun 1986.

Awal bulan ini, pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan dia akan kembali bersama pasukan kebangsaan selepas dipujuk oleh jurulatih baru Edgar Bauza untuk kembali.

“Banyak perkara berlegar di minda saya semasa perlawanan akhir itu, dan saya benar-benar terfikir untuk berhenti, tetapi saya sayangkan negara saya,” kata Messi selepas mengumumkan kepulangannya.

Messi bersedia untuk beraksi apabila Argentina bermain di perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay di tempat sendiri dan menentang Venezuela di tempat lawan pada 1 dan 6 September.

Other posts by