Badminton

Kian Meng sasar penampilan di Olimpik Tokyo

Selepas menyertai skuad badminton negara di Sukan Olimpik Rio, pemain bergu campuran negara Tan Kian Meng berazam untuk membuat penampilan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kian Meng yang ke Rio sebagai rakan pelatih skuad badminton negara bersama Iskandar Zulkarnai Zainuddin, bersemangat mahu beraksi di Tokyo selepas melihat kejayaan rakan-rakannya yang merangkul pingat perak di temasya sukan berkenaan.

“Berada di Rio merupakan satu perkara yang menakjubkan dan saya telah belajar banyak di sana walaupun hadir sekadar sebagai rakan pelatih,” kata Kian Meng.

“Saya perlu lebih memperbaiki permainan saya dan belajar mengawal tekanan jika mahu mencapai tahap seperti Peng Soon-Liu Ying.

“Ia menjadikan saya lebih bermotivasi untuk beraksi dengan lebih baik bersama Pei Jing untuk merebut tempat ke Tokyo.

“Kami perlu menaikkan kedudukan kami dengan pantas…kami mempunyai enam kejohanan tahun ini, bermula dengan Indonesian Masters (6-11 September) dan kami sasarkan untuk berada di kedudukan 15 terbaik di penghujung tahun ini.”

Kian Meng-Pei Jing yang merangkul gelaran Terbuka Vietnam pada bulan Julai, merangkul gelaran Terbuka Kedah pada hari Ahad sebagai pemanas badan sebelum ke Indonesia.

Pilihan utama kejohanan itu menewaskan Hoo Pang Ron- Shevon Lai Jemei untuk memang 21-13, 21-16 dalam masa 35 minit.

Keputusan lain menyaksikan, bekas pemain kebangsaan Chong Wei Feng menewaskan Soo Teck Zhi 21-18, 20-22,21-16 untuk merangkul gelaran acara perseorangan lelaki.

Dalam acara bergu lelaki, pilihan kedua Ong Yew Sin-Teo Ee Yo menewaskan bergu bebas Mohd Razif Latif-Mohd Hafiz Hashim 21-17, 21-11.

Dalam acara perseorangan wanita, juara remaja dunia Goh Jin Wei merangkul gelaran tempatan keduanya selepas menewaskan Ho Yen Mei 23-21, 21-16.

Dalam acara bergu wanita berlaku kejutan apabila gandingan Cheah Yee See-Peck Yen Wei mengejutkan pilihan utama Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 16-21, 21-16, 21-17.

Other posts by