Hockey

Malaysia akan berwaspada dengan India dan Korea Selatan

Ini masanya untuk Malaysia berdepan cabaran terbesar mereka.

Pendahulu Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Malaysia akan berdepan pasukan pilihan India dan Korea Selatan dalam dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan mereka.

Malaysia sudah layak ke separuh akhir selepas mengutip sembilan mata hasil kemenangan ke atas juara bertahan Pakistan (4-2), China (5-1) dan Jepun (7-2). Mereka akan beraksi menentang India, juara Sukan Asia 2014, pada hari Rabu dan Korea Selatan, tiga kali pemenang pingat emas Asia, pada hari Khamis.

Ketua pasukan negara Mohamed Shukri Mutalib berkata mereka tidak boleh terlalu yakin dan terus berkerja keras untuk mendapatkan keputusan.

“Kami perlu mengekalkan tahap permainan kami. Ianya akan lebih sukar sekarang, bermula dengan India. Apa yang bagus adalah pasukan lebih bersatu dan kami akan bermain dengan habis-habisan,” kata Shukri.

“Ianya bagus juga melihat pemain menjaringkan gol dan tidak tamak melihat siapa yang menjaringkan gol. Kami perlu kekalkan naluri kemenangan ini dan tidak takut dengan mana-mana pasukan.

“Tapi saya perlu akui bahawa India berada di tahap lebih tinggi dari pasukan lain. Kami perlu bermain lebih baik menentang mereka.”

India di bawah kendalian jurulatih Belanda Roelant Oltmans kini berada di tangga kedua dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Jurulatih negara Stephen van Huizen mengakui India dan Korea Selatan agak sukar untuk ditewaskan.

“Pelan kami dari awal adalah untuk mengutip tiga mata penuh dalam tiga perlawanan awal untuk layak ke separuh akhir. Kami tiada tekanan sekarang. Kami boleh bermain menentang India dan Korea Selatan dengan tenang. Pemain sedang memperbaiki diri dalam setiap perlawanan dan sentiasa berkerja untuk memperbetul setiap kesilapan.

“Ini bagus kerana pasukan kini lebih yakin. Dengan setiap kemenangan, tahap keyakinan juga bertambah baik. Tetapi berapa banyak kita sudah meningkat akan dapat dinilai dalamm perlawanan menentang India,” kata Stephen.

Malaysia sudah bertemu India 109 kali. Malaysia hanya menang 15 kali dan kemenangan terakhir adalah 3-2 dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu. India menang 76 kali ke atas Malaysia dan 18 kali seri.

Other posts by