Football

Brendan Gan jadi rebutan pasukan Liga Malaysia

Pemain kebangsaan, Brendan Gan mengumumkan pemergiannya dari pasukan Kelantan secara rasmi semalam apabila mempamerkan gambar berserta ucapan penuh emosi kepada peminat The Red Warriors di laman instagramnya.

Brendan yang sedang dalam proses pemulihan dari kecederaan ACL merupakan tonggak utama pasukan Kelantan pada musim lepas, namun Red Warriors memilih untuk tidak menyambung kontraknya sebagai sebahagian dari perancangan mereka untuk membentuk semula pasukan menggunakan pemain muda.

Oleh kerana itu, pemain berusia 28 tahun itu kini merupakan pemain bebas- dan dikhabarkan kini menjadi rebutan pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia. Menurut sumber yang rapat dengannya, lebih kurang sembilan pasukan dari MSL yang berminat dengan bekas pemain Sydney FC ini.

“Hampir semua pasukan dalam negara ini berminat dengan Brendan. Lebih kurang sembilan dari 12 pasukan MSL menyatakan minat mereka dalam pelbagai cara. Dia juga mendapat tawaran dari luar negara,” kata sumber tersebut.

“Tetapi masih banyaj masa untuk Brendan berfikir dan membuat keputusan untuk masa depannya. Dia tidak akan menyertai mana-mana pasukan sebelum musim bermula. Dia merupakan pemain bebas, oleh itu dia boleh menyertai mana-mana pasukan pada bila-bila masa, sebaik sahaja dia pulih sepenuhnya,” tambah sumber itu.

Brendan sebelum ini dikaitkan dengan pasukan dari Selatan tanah air, JDT awal tahun ini, namun keputusan mereka untuk menandatangani Nazmi Faiz dari Selangor menamatkan spekulasi itu. Kini, pemain tengah bertahan ini dikaitkan pula dengan pasukan lama Nazmi, Selangor, yang kini sedang mencari penggantinya.

Selain Selangor, Pulau Pinang juga dikhabarkan sedang mengikut perkembangan Brendan, dengan Ketua Jurulatih baru mereka Ashley Westwood dikatakan meminati pemain kebangsaan itu. Felda United yang akan bermain dalam saingan Piala AFC juga dikatakan berminat dengan Brenda Gan.

Apa pendapat anda mengenai Brendan Gan dan khabar angin mengenai pasukan yang dikaitkan dengannya? Beritahu kami menerusi ruangan komen di bawah!

Other posts by