Football

#KamiLuarBiasa: Malaysia benam Myanmar 16-0

Tidak, ini bukan satu satira. Ini benar-benar berlaku. Malaysia menewaskan Myanmar 16-0. Ianya kenyataan dan bukan mimpi.

Namun, kemenangan ini bukan perlawanan ulangan anak buah Ong Kim Swee di Piala AFF Suzuki, tapi kejayaan ini dilakar oleh skuad bolasepak Malaysia yang menyertai Kejohanan Bolasepak Orang Pekak ASEAN 2016 yang berlangsung di Padang C Majlis Sukan Negara.

Skuad kebangsaan berjaya menduduki tangga teratas kumpulan B di atas Vietnam selepas memungut enam mata.

Razilawali Wahab muncul wira negara apabila menjaringkan tujuh gol, sementara Faza Firdaus Ghazali dan Nasharuddin Razali kedua-duanya menjaringkan dua gol diikuti Mak Chee Weng, Naim Mat Leh, Aqif Syafiq Maathe, Rahmatuddin Huzaizi dan Firdaus Sabudin masing-masing menjaringkan satu gol.

Malaysia dijadual bertemu naib juara Kumpulan A, Indonesia dalam aksi separuh akhir di Padang C MSN sementara Vietnam akan bertemu Thailand di Padang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kejohanan Bolasepak Orang Pekak ASEAN ini merupakan kali pertama dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dengan kerjasama MSN dan FAM. Selain Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia, turut serta dalam kejohanan ini adalah Myanmar, Laos dan Kemboja.

Other posts by