Football

Tiada sebarang perubahan untuk proses kelayakan ke Piala Malaysia bagi musim hadapan

Tiada sebarang perubahan untuk proses kelayakan ke Piala Malaysia bagi musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam dipetik berkata dalam laporan akhbar The Star bahawa semua pasukan telah bersetuju untuk mengekalkan format yang sama seperti diperkenalkan pada tahun ini.

16 pasukan yang bakal berentap dalam saingan Piala Malaysia musim depan akan bergantung kepada kedudukan mereka dalam 11 perlawanan pertama Liga Super dan Liga Premier.

11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas dari Liga Premier akan diundi kepada empat kumpulan.

“Maklumbalas yang kami terima sangat positif dan pasukan bersedia untuk mengekalkan format ini.

”Kami memberikan pelbagai pilihan…dan semua memilih format yang sama, termasuk sepak mula serentak bagi perlawanan Liga dan Piala Malaysia,” kata Kevin selepas mesyuarat bersama ahli gabungan di Wisma FAM Kelana Jaya seperti dilaporkan akhbar The Star.

Dia berkata bahawa mesyuarat itu penting untuk memberikan perkembangan terbaru kepada semua pasukan menjelang sepak mula musim hadapan.

Kevin menambah bahawa Piala Malaysia akan bermula pada bulan Ogos, namun akan berehat selama tiga minggu di hujung bulan itu untuk memberi laluan kepada Sukan SEA.

Perlawanan Piala Sumbangsih di antara juara Liga Super Johor Darul Ta’azim (JDT) dengan juara Piala Malaysia Kedah akan diadakan di Stadium Larkin, Johor pada 20 Januari dan akan dijalankan serentak sebagai perlawanan Liga Super. Perlawanan lain akan berlangsung pada 21 Januari.

Perlawanan akhir Piala Malaysia akan diadakan pada 28 Oktober.

Other posts by