Athletics

#KamiLuarBiasa: Wira Paralimpik Malaysia diabadikan dalam bentuk Setem

Kejayaan tiga wira Paralimpik negara terus menjadi sebutan sehingga ke hari ini. Populariti mereka mencanak naik sejak memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio, September lalu.

Mereka ditampilkan di pelbagai majlis, rancangan bual bicara, majalah dan sibuk ke sana ke mari kerana mendapat undangan majlis penghargaan oleh banyak pihak.

Satu perkara yang membanggakan kerana mereka akhirnya mendapat perhatian oleh rakyat Malaysia selepas sekian lama dipandang sepi.

Kini, mereka sekali lagi mendapat penghormatan besar apabila bakal diabadikan dalam bentuk setem oleh pihak Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia).

Photo credit: Bernama

Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latiff Romly mencipta sejarah apabila menjadi rakyat biasa yang pertama diabadikan dalam bentuk setem. Ini satu perkara yang membanggakan kerana peraturan untuk mencetak lukisan wajah dan gambar sebenar di setem sangat ketat.

Memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh kepada akhbar New Straits Times:”Belum pernah ada wajah yang bukan di kalangan bukan pemerintah yang dicetak pada setem ketika mereka masih hidup. Ini satu penghargaan yang hanya diberi kepada wira Paralimpik kita.”

Menurut Pos Malaysia setem tersebut hanya dicetak sebanyak 150,000 unit dan dicetak di New Zealand dengan usahasama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara.

Other posts by