Lee Chong Wei beraksi dalam acara bergu campuran di Purple League

0
Photo credit: Youtube

Lee Chong Wei beraksi dalam acara bergu campuran?

Mungkin ada yang ingat ini adalah jenaka, tetapi bukan.

Pemain perseorangan No.1 dunia Lee Chong Wei beraksi dalam acara bergu campuran bersama juara bergu wanita dunia lima kali Zhao Yunlei dari China mewakili Kelab Badminton Petaling dalam perlawanan terakhir mereka di SS Purple League.

Gandingan dua pemain hebat dunia ini ternyata tidak mampu ditandingi lawan mereka Terry Hee Yong Kai- Tan Wei Han dari Ampang Jaya BC yang tewas 11-6, 11-8, 11-4 dalam masa 20 minit di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lalu.

Namun, kedua-dua pemain hebat itu tidak dapat membantu Petaling menang secara keseluruhan apabila pasukan itu tewas 12-5 secara keseluruhan tetapi masih berpeluang bermain di pusingan kalah mati enam pasukan yang akan berlangsung di Genting Highlands pada 9-12 Februari.

Memetik kata-kata Chong Wei kepada akhbar The Star: “Ianya satu latihan yang bagus. Seronok juga bermain bersama Yunlei dan kami berkerjasama dengan baik. Mungkin saya perlu bermain lebih banyak dalam acara bergu campuran (di Purple League) pada masa hadapan.”

Yunlei, pemenang pingat emas dalam acara bergu campuran dan wanita di Sukan Olimpik London 2012 bercakap kepada The Star turut berkongsi pendapat dengan Chong Wei.

“Kami selesa bermain bersama. Ianya satu pengalaman hebat berpasangan dengan pemain perseorangan terbaik dunia.”

Chong Wei sebelum ini pernah beraksi dalam acara bergu campuran di Terbuka Selangor 2012 dan Terbuka Perak 2015 apabila dia bergandingan dengan Vivian Hoo.