Futsal

Skuad futsal Malaysia mara ke separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF

Walaupun skuad bolasepak tidak mampu mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki, lain pula ceritanya untuk skuad futsal kebangsaan.

Pasukan futsal Malaysia terus garang membelasah Laos 13-1 dalam aksi kedua Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok petang semalam.

Malaysia mendahului 7-0 di babak pertama dan di permulaan babak kedua menjaringkan lagi dua gol sebelum Laos sempat menjaringkan satu gol saguhati. Tidak puas dengan hanya sembilan gol, pasukan kendalian Chiew Chun Yong itu menyumbat lagi empat gol untuk menjadikan kedudukan 13-1.

Jurulatih skuad futsal negara Chiew Chun Yong berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

“Saya rasa pemain kita pada hari ini telah melakukan tugas dengan baik. Biarpun Laos bukanlah pasukan yang agak kuat, tapi itu tidak bermakna yang kita boleh ambil mudah perlawanan ini.

“Ini kerana, saya mahu pemain mencuba beberapa taktikal sebagai persediaan untuk berdepan Myanmar, esok (hari ini). Mereka telah melakukannya dengan baik dari segi taktikal dan sistem permainan, “ katanya seperti dipetik dari laman web FAM.

Myanmar mencipta kejutan apabila menewaskan Indonesia 6-3 sekaligus bakal mengiringi skuad Harimau Malaysia ke separuh akhir. Malaysia akan bertemu Myanmar dalam perlawanan terakhir Kumpulan B bagi menentukan siapa bakal muncul juara bagi Kumpulan B.

Kumpulan A menampilkan tiga pasukan iaitu tuan rumah, Thailand, Timor-Leste dan Brunei.

Other posts by