Football

Jangan salahkan Tengku Abdullah – TSAM

Peletakan jawatan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan mengubah persatuan tersebut, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ini susulan kekalahan Malaysia yang terburuk pernah dicatatkan apabila tewas 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018, minggu lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu menganggap bukan sekadar Presiden FAM sahaja yang perlu bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku di Abu Dhabi.

“Hasrat Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah) untuk meletakkan jawatan sebagai presiden FAM merupakan satu tindakan yang ‘gentleman’,  tetapi Tengku Mahkota Pahang tidak seharusnya dipersalahkan kerana FAM itu bersifat ‘collective’.

“FAM merupakan satu majlis yang diterajui oleh ramai individu tetapi mengapa beliau (Tengku Abdullah) perlu mengambil tanggungjawab tersebut berseorangan.”

“Kalau seorang sahaja yang berundur sedangkan FAM secara keseluruhannya tidak berubah, ia tetap tidak akan mengubah keadaan bola sepak Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Katanya lagi perkara yang lebih penting untuk dibincangkan buat masa ini adalah tindakan susulan yang akan diambil oleh FAM untuk mengembalikan imej bola sepak negara yang sudah tercalar ketika ini.

“Peletakan jawatan Presiden hanya akan membuatkan FAM lebih parah dan lemah. Yang paling penting buat masa ini adalah tindakan untuk memperbaiki keadaan.

“Bagi saya soal siapa letak jawatan itu tidak penting, yang penting adalah apa tindakan FAM yang seterusnya dalam menangani masalah ketika ini.

“Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk merombak seluruh pengurusan dalam persatuan tersebut,”katanya.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan secara berperingkat sebagai presiden FAM berikutan kekalahan Malaysia 10-0 kepada UAE, mengikuti jejak langkah Dollah Salleh yang turut meletakkan jawatannya selaku jurulatih kebangsaaan.

Other posts by