Football

Perak perlu bangkit semula – Presiden PAFA

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datok Zainol Fadzi Paharuddin yakin Perak mampu bangkit dalam Piala Malaysia kali ini.

Ini ekoran lima kekalahan berturut-turut yang dicatatkan semasa penghujung musim Liga Super menyaksikan kedudukan Perak yang pada mulanya selesa di tempat ketiga jatuh sehingga tangga kelapan liga.

Beliau berharap pasukan The Bos Gaurus dapat menggunakan Piala Malaysia musim ini sebagai medan menebus kekecewaan pasukan sebelum ini.

“Perak sudah terlepas peluang selama dua musim berturut-turut untuk layak ke suku akhir. Pada masa itu kita hanya perlukan satu mata untuk layak, tapi malangnya gagal,” katanya kepada Harian Metro.

Akibat lima kekalahan berturut-turut, PAFA merehatkan Datuk M. Karathu dan Abu Bakar Fadzim dilantik sebagai jurulatih sementara sehingga Liga Super tamat.

Namun beberapa minggu sebelum kempen Piala Malaysia bermula, PAFA membuat keputusan untuk melantik semula Vjeran Simunic sebagai ketua jurulatih pasukan Perak yang pernah memegang jawatan yang sama pada awal musim 2015.

“Simunic pasti tahu bagaimana hendak membuat percaturan dan menangani pemain. Saya yakin pemain-pemain juga tidak menghadapi masalah dengan jurulatih itu,” katanya.

Perak akan kembali diperkuatkan dengan kehadiran pemain-pemain seperti Namkung Woong, Charles Souza Chad, Nasir Basharuddin dan Idris Ahmad tetapi pada masa yang sama bakal kehilangan penjaga gol utama, Zamir Selamat akibat kecederaan dan perlu berehat selama enam bulan.

Perak berada dalam Kumpulan B dalam Piala Malaysia dan bakal bersaing dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim, Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perak akan bertemu JDT di Larkin dalam perlawanan pertama Kumpulan B hari ini.

Other posts by