Football

FMLLP lancar kempen menentang rasuah dan rusuhan

Kempen menentang rasuah dalam mengatur perlawanan serta rusuhan akan dilancarkan di Liga M tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Baru-baru ini bola sepak Malaysia telah dikejutkan dengan insiden rusuhan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan.

Beliau berkata gejala mengatur perlawanan dalam bola sepak Malaysia harus ditangani kerana imej yang baik amat penting sekiranya mahu meningkatkan pendapatan daripada televisyen.

FMLLP berkata, sistem pengesanan pertaruhan dan penggantungan seumur hidup serta pemain akan digunakan untuk melumpuhkan gejala rasuah malah tindakan mereka akan diperhatikan dengan teliti.

“Kita sudah sampai pada satu tahap di mana kita perlu serius untuk menangani perkara seperti ini.

“Saya fikir masalah ini (mengatur perlawanan) agak kurang berlaku namun pastinya kemungkinan ia untuk ada adalah kuat. Kita berharap dapat menghapuskan stigma ini dalam masa dua hingga ke tiga tahun,” katanya.

FMLLP juga akan cuba untuk menghentikan keganasan dalam bola sepak sebelum ia berlaku dengan memerhatikan rangkaian media sosial dan turut mengadakan perbincangan dengan peminat-peminat bola sepak tanah air.

Sebelum ini Ultras Malaya telah memberi pelbagai tanda-tanda bahawa mereka akan melakukan sesuatu ketika perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi namun tiada tindakan susulan yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Selalunya, apabila perkara seperti ini diketahui umum, ia berlaku selepas beberapa minggu berkempen di dalam media sosial contohnya. Perkara ini sebenarnya lebih mudah untuk dijangka.’

“Mungkin selepas kempen ini dilancarkan, kita perlu melihat tanda-tanda awal seperti ini secara serius dan menangani isu itu berbanding menunggu sehingga ianya berlaku,” katanya.

FMLLP akan mengendalikan dua liga tertinggi di Malaysia, Liga Super Malaysia dan Liga Perdana serta kejohanan piala domestik dengan menggunakan sistem liga yang serupa dengan Liga Perdana Inggeris dan Bundesliga.

Perjanjian hak penyiaran televisyen dengan syarikat MP & Silva baru-baru ini telah memberi jaminan pulangan minimum sebanyak RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun, bermakna ianya dua kali ganda lebih banyak daripada yang diperoleh sebelum ini. – AFP

Other posts by