Sports

Jadikan sukan sebagai budaya kita – Najib

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya menjadikan sukan sebagai satu budaya dan gaya hidup sehari-harian dan bukannya sekadar bersukan pada Hari Sukan Negara sahaja.

Ini berikutan prestasi yang agak membimbangkan dalam arena sukan negara baru-baru ini terutamanya dalam bidang badminton dan bola sepak dan tidak ketinggalan kualiti hidup yang kurang sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi dari segi gaya hidup dan cara pemakanan.

Beliau berkata jika sukan dijadikan sebagai satu budaya dan cara hidup, negara pasti akan dapat melahirkan ahli sukan yang bertaraf antarabangsa.

“Hari ini, kita ada ahli sukan nombor satu dalam badminton dan squash tetapi siapa pula yang akan menggantikan Lee Chong Wei dan Nicol David? Ini masih lagi menjadi satu tanda tanya. Dari segi keputusan dalam pertandingan-pertandingan sukan pun, pencapaian yang diperoleh oleh Malaysia masih lagi belum mencapai tahap yang boleh dikatakan sebagai negara bersukan.

“Sebagai contohnya Australia, mereka mempunyai penduduk seramai 30 juta orang, lebih kurang sama dengan Malaysia yang juga mempunyai 30 juta orang, tetapi jika diambil dari segi pencapaian dalam bidang sukan, mereka lebih bagus dan berada di tahap yang lebih tinggi kerana pada dasarnya, mereka mempunyai budaya bersukan.

“Jika kita sentiasa aktif, budaya bersukan akan sendirinya terjadi, malah ramai yang akan ada peluang untuk mencari kerja dalam bidang sukan seperti menjadi pelatih, jurulatih ataupun doktor sukan. Inilah harapan saya,” katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara yang di sertai lebih 20, 000 orang di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Setiap tahun, Hari Sukan Negara akan diadakan pada setiap hari Sabtu minggu kedua pada bulan Oktober.

Ini merupakan satu inisiatif daripada Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bersukan.

Lebih 17,000 acara sukan dan aktiviti beriadah telah dianjurkan pada Hari Sukan Negara untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian secara serentak di seluruh negara.

Other posts by