Football

Perlu cara lain untuk menghukum FAM – Khairy

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Akta Pembangunan Sukan 1997 mungkin akan dipinda untuk memberi lebih banyak pilihan kepada Pesuruhjaya Sukan dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana persatuan sukan yang melakukan kesalahan.

Sebelum ini Khairy berkata bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin boleh digantung jika Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman tidak berpuas hati dengan laporan yang diberikan oleh FAM.

Namun beliau berkata Pesuruhjaya Sukan mengalami kesulitan untuk memilih hukuman yang sewajarnya terhadap FAM ekoran insiden rusuhan semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia di antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada bulan yang lalu.

“Sekarang ini, FAM hanya didenda sebanyak RM50, 000 dan selain daripada hukuman denda, kita ada hukuman gantung. Hukuman yang satu itu terlalu ringan, hukuman yang lagi satu itu pula terlalu berat.

“Sebab itu, kita akan membuat kajian semula bentuk hukuman yang sesuai untuk digunakan pada masa akan datang.

“Ramai yang mahukan hukuman berat dikenakan terhadap FAM. Tapi mereka tidak tahu apa yang akan berlaku jika kita digantung oleh FIFA. Sangat sukar sebenarnya untuk menamatkan penggantungan dari FIFA,” katanya kepada Bernama semalam.

Penggantungan serta-merta akan memaksa Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengambil tindakan tegas akibat campur tangan kerajaan terhadap badan pengurusan FAM.

FIFA hanya mendenda FAM sebanyak RM180, 000 disamping menghadiahkan kemenangan 3-0 dan tiga mata kepada Arab Saudi malah Malaysia dipaksa untuk bermain di stadium tanpa penonton ketika perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November.

Other posts by