Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa FAM sentiasa mengambil serius dalam soal integriti dan mereka telah pun menubuhkan Jawatankuasa Integriti FAM sejak tahun 2010 dan mewajibkan setiap persatuan bola sepak negeri menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri sejak dua tahun yang lalu.

“Jawatankuasa itu bertanggungjawab menapis, memeriksa pemain asing dan juga memantau liga, pemain dan pegawai untuk mencegah gejala-gejala yang tidak sihat dalam bola sepak seperti rasuah dan menentukan keputusan perlawanan.

“Jadi, untuk mengatakan bahawa FAM perlu disiasat oleh FIFA kerana gagal menangani korupsi dan mencuri pendapatan hak penyiaran adalah sesuatu perkara yang tidak berasas.

“FAM sebenarnya sudah pun menjalani program penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan, termasuk pengurusan kewangan de­ngan mencari peluang komersial yang menjadi salah satu agenda utama dalam Program Prestasi FIFA,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Hamidin, Perunding Program Prestasi FIFA (Laporan Kewangan), Anter Issac, Perunding Program Win-Win FIFA, Christophe Rousseau dan Pegawai Pembangunan FIFA (ERP & FIFA Connect), Sujit Manjuran telah beberapa kali ke Wisma FAM untuk menganalisa dan mengesyorkan bahagian yang perlu diperbaiki dalam sistem operasi dan pengurusan kewangan FAM.

Hamidin juga menjelaskan mengapa FAM memerlukan 40 peratus dalam pengagihan pendapatan lebih banyak daripada peratusan yang diberikan kepada pasukan-pasukan tempatan, peratusan untuk Liga Malaysia dan peratusan untuk pengadil serta pembangunan akar umbi.

“FAM memerlukan sebanyak RM70 juta untuk menguruskan pasukan-pasukan kebangsaan dari peringkat remaja sehingga senior serta menganjurkan pertandingan tempatan.

“Tidak ketinggalan juga operasi harian di Wisma FAM yang merangkumi kos penggajian kakitangan, jurulatih dan tenaga teknikal yang lain.

“Jadi berdasarkan hasil pendapatan sebanyak RM70 juta setahun itu, FAM hanya akan mendapat RM28 juta yang mana FAM sebenarnya perlu mencari RM42 juta lagi untuk menampung perbelanjaan tahunannya yang berjumlah sekitar RM70 juta.

“Contohnya Piala Dunia 2014, FIFA menerima pendapatan sebanyak AS$4.8 billion dan setiap pasukan yang bertanding akan berkongsi sebanyak 13 peratus atau kira-kira AS$628 juta manakala ahli gabungan FIFA akan mendapat sebanyak 5.5 peratus atau kira-kira AS$268 juta. Keseluruhannya, pasukan yang bertanding akan mendapat 18.5 peratus. FIFA pula yang mendapat sebanyak AS$2.6 bilion, hanya akan mendapat sebanyak AS$0.4 bilion setelah menolak sebanyak AS$2.2 bilion untuk kos perbelanjaan keseluruhan iaitu kira-kira 54 peratus daripada jumlah asal AS$4.8 billion,” katanya.