Sunday, September 23, 2018
Home Football 15 minit pertama adalah tempoh yang paling penting – Mario Gomez

15 minit pertama adalah tempoh yang paling penting – Mario Gomez

0
Photo credits:the-afc.com

Ketua jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Mario Gomez berkata biar apa pun yang berlaku ketika perlawanan akhir menentang FC Istiklol malam ini, dia berharap para pemain Harimau Selatan berjuang berhabis-habisan sehingga ke wisel penamat.

Jurulatih dari Argentina itu mahu pemainnya melupakan seketika masalah-masalah peribadi serta tidak memikirkan kelebihan yang ada pada pihak lawan kerana apa yang lebih penting adalah fokus untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan akhir nanti.

Kata Gomez, 15 minit pertama permainan adalah tempoh yang paling penting untuk mengenal pasti sama ada pemain benar-benar fokus dan bersedia untuk bermain dalam perlawanan akhir.
“Bukan kita sahaja yang mahu jaringkan gol, pasukan Istiklol juga sudah tentu mahukan gol, sebab itu pemain perlu memberi tumpuan, terutamanya dalam 15 minit pertama. Dalam perlawanan bola sepak, 15 minit pertama adalah sangat penting lebih-lebih lagi dalam perlawanan akhir.

“Ia akan menguji tumpuan para pemain dan mereka langsung tidak boleh melakukan kesilapan awal, jika tidak kita akan berasa tertekan sepanjang perlawanan nanti.

“Kita ada 90 minit untuk menang, jadi gunakan masa itu dengan sebaiknya dan jangan terlalu gopoh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim menganggap perlawanan akhir sebagai satu pengalaman yang berharga buat dirinya.

“Kita ada satu pasukan yang besar, jadi sesiapa pun yang diturunkan tidak akan menjadi masalah. Saya percaya rakan-rakan mampu memberikan aksi yang terbaik dan membantu kami memenangi perlawanan.

“Ini adalah satu pengalaman yang tidak boleh dibeli kerana kita berada di tahap yang terbaik tahun ini,” katanya.