Football

Johor Darul Takzim juara Piala AFC 2015

Johor Darul Takzim (JDT) menjadi juara Piala AFC 2015 setelah menewaskan FC Istiklol 1-0 di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan hasil jaringan tunggal daripada Leandro Velazquez.

Perlawanan bermula dengan agak perlahan apabila kedua-dua pasukan cuba mencipta peluang untuk mencari gol awal untuk dijadikan sebagai satu kelebihan besar semasa perlawanan.

Istiklol lebih banyak menguasai perlawanan dengan Manukhcher Dzhalilov yang banyak menembusi pertahanan JDT untuk cuba menjaringkan gol awal.

Pasukan tuan rumah hampir menjaringkan gol pada minit ke-9 apabila Farizal gagal menangkap kemas tendangan Dzhalilov yang hampir bergolek masuk ke gawang tetapi diselamatkan saat-saat akhir oleh Aidil Zafuan.

Namun pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol dari JDT pada minit ke-23 apabila sepakan penjuru Safiq Rahim menemui Leandro Velazquez yang terus menendang masuk melepasi penjaga gol pihak lawan.

Pasukan tuan rumah cuba untuk mendapatkan gol penyamaan sebelum separuh masa pertama tamat tetapi gagal mencipta sebarang peluang di hadapan gol.

Sebaik sahaja separuh masa kedua berlangsung, FC Istiklol mengasak secara habis-habisan bagi mendapatkan gol penyamaan dengan secepat yang mungkin.

Pasukan tuan rumah sudah meraikan gol pada minit ke-50 hasil jaringan Dilshod Vasiev yang menyambut masuk hantaran dari belakang namun gol tersebut dibatalkan kerana Vasiev sudahpun berada dalam kedudukan ofsaid.

Istiklol terus menguasai perlawanan memaksa pemain JDT bermain secara kasar dengan Leandro dan Safee masing-masing menerima kad kuning.

Farizal Marlias turut menerima kad kuning kerana lambat mengambil sepakan gol dan pengadil menganggap ianya satu cubaan untuk membuang masa.

Pasukan Istiklol sekali lagi mendapat peluang terbaik pada minit ke-74 apabila pemain Istiklol berjaya menjaringkan gol setelah pemain pertahanan JDT gagal mengeluarkan bola daripada kotak penalti namun sekali lagi dibatalkan kerana berlakunya kekasaran ke atas Marcos Antonio.

Cubaan demi cubaan dilakukan oleh pasukan Istiklol namun sering dipatahkan oleh Farizal dan Marcos yang telah bertahan dengan baik sepanjang perlawanan.

Istiklol cuba untuk mendapatkan gol penyamaan dalam saat-saat terakhir perlawanan, namun dibatalkan sekali lagi oleh pengadil yang kemudiannya meniupkan wisel penamat sekaligus menjadikan JDT juara Piala AFC 2015.

Other posts by