Football

Zainal mahu Pahang ikut jejak JDT

Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menganggap kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat Asia seharusnya dijadikan sebagai satu penanda aras baru buat semua pasukan bola sepak di Malaysia terutamanya dalam mencapai kejayaan pada tahap yang lebih tinggi dari sebelum ini.

Setelah bertahun-tahun bola sepak negara gagal dalam meraih sebarang kejayaan di peringkat antarabangsa, tibalah masanya untuk pasukan-pasukan Liga Malaysia bercita-cita besar daripada sekadar mahu menjadi juara dalam peringkat domestik.

Zainal berkata pencapaian JDT telah membanggakan sukan bola sepak negara dan ianya perlu dijadikan contoh oleh pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia.

“Kami berkongsi perasaan bangga kerana yang meraih kejuaraan Piala AFC adalah pasukan dari Liga Malaysia. Kejuaraan JDT seolah-olah telah membuka laluan kepada pasukan lain untuk memburu kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

“Ini bukan lagi satu perkara yang mustahil kerana JDT sudah pun membuktikannya.

“Pahang sendiri telah berjaya mencipta sejarah ke peringkat suku akhir tetapi kini saya berazam mahu mencapai ke tahap yang lebih membanggakan pada masa akan datang,”katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam perlawanan akhir Piala AFC 2015 di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan Sabtu lalu, JDT menewaskan FC Istiklol 1-0 hasil daripada gol tunggal yang dijaringkan oleh Leandro Velazquez pada minit ke-23.

JDT menjadi pasukan Malaysia yang pertama dan pasukan dari Asia Tenggara yang pertama menjuarai Piala AFC sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2004.

Other posts by