Zahasmi berkata, para pemain Kelantan perlu sentiasa fokus terhadap perlawanan dan bermain bersungguh-sungguh demi penyokong-penyokong setia pasukan Kelantan yang masih lagi dahagakan kejayaan pada musim ini.

“Saya mahu pemain pamerkan semangat juang yang tinggi esok (hari ini). Mereka harus bermain bermati-matian dan jangan hampakan penyokong kali ini.

“Dengan cara inilah kita mahukan daripada pemain jika mereka benar-benar mahu layak ke pusingan seterusnya.

“Saya percaya pasukan ini mampu melakukan sesuatu cumanya peluang untuk layak adalah tipis dan kami memerlukan sedikit keajaiban,”katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

 

Selain dari Kelantan, T-Team dan Felda yang merebut tempat untuk ke suku akhir dalam Kumpulan C, pasukan-pasukan dari tiga kumpulan yang lain turut bertarung untuk mendapatkan tempat ke pusingan suku akhir.

Kumpulan A menyaksikan persaingan antara LionsXII, Kedah dan Terengganu malah JDTII juga mempunyai peluang jika mereka menewaskan Kedah dan Terengganu tewas kepada LionsXII malam ini.

Kumpulan B pula hanya mempunyai satu slot sahaja lagi untuk ke suku akhir setelah JDT berjaya melayakkan diri pada minggu lepas dan persaingan adalah antara Sarawak, ATM dan Perak yang masih mempunyai baki dua perlawanan. Sarawak akan menentang ATM hari ini, manakala Perak akan menentang JDT esok. Perlawanan terakhir kumpulan akan bersambung pada 21 November.

Saingan dalam Kumpulan D juga masih lagi terbuka luas dengan Pahang yang mendahului dengan 9 mata, diikuti PKNS dengan 8 mata, manakala Pulau Pinang dan PDRM masing-masing berkongsi 5 mata. Pahang akan menentang Pulau Pinang manakala PKNS akan menentang PDRM.