Football

Saya sudah tunjukkan kemampuan sebagai jurulatih negara – OKS

Ketua jurulatih sementara pasukan kebangsaan Ong Kim Swee berkata dia sudah menunjukkan kemampuannya selaku jurulatih negara namun beranggapan yang peluangnya untuk menjadi jurulatih secara rasmi agak tipis berbanding sebelum ini.

Jurulatih berusia 44 tahun itu menganggap kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepadanya telah berkurangan ekoran kekalahan 6-0 kepada Palestin minggu lalu.

Namun Ong percaya dia sudah diberikan peluang yang secukupnya untuk membuktikan keupayaannya selaku jurulatih dan menyerahkan segala-galanya kepada FAM untuk membuat penilaian yang selanjutnya.

“Saya sudah diberikan peluang yang secukupnya. Saya rasa tiada apa yang perlu saya kesalkan.

“Sebelum perlawanan dengan Palestin saya boleh katakan saya ada peluang sebanyak 75 peratus untuk mendapatkan jawatan itu. Tapi selepas perlawanan dengan Palestin, peluang saya sudah merosot kepada 50 peratus.

“Saya tak boleh salahkan mereka kerana sebagai jurulatih saya harus menerimanya. Tapi selepas ini jika FAM tidak mahukan saya lagi, saya kena terima kerana itu cabaran saya sebagai seorang jurulatih,” katanya kepada Arena Metro pada hari Selasa yang lalu.

Di bawah kendalian Ong, pasukan negara telah berjaya mencatatkan dua kemenangan iaitu 3-1 ke atas pasukan Laos dan 1-0 ke atas pasukan Timor Leste tetapi pada masa yang sama, pasukan negara telah mencatatkan kekalahan dalam tiga perlawanan dan ini termasuk kekalahan 6-0 kepada Palestin dan 2-1 kepada UAE.

Other posts by