Football

Piala Malaysia: Kami mahu kekalkan rekod bersih – Mahali

Johor Darul Takzim (JDT) sudahpun layak ke suku akhir Piala Malaysia namun para pemainnya tetap mahu mengekalkan rekod kemenangan buat kali keenam apabila bertemu dengan pasukan Sarawak di Larkin, esok.

Juara Piala AFC itu telah memenangi kesemua perlawanan dalam Kumpulan B termasuk kemenangan 3-0 ke atas Sarawak di Kuching pada 24 Oktober yang lalu.

Bagi Mahali Jasuli, dia menganggap perlawanan esok sebagai satu perlawanan yang penting kerana Sarawak akan bermain bermati-matian demi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Mungkin ramai yang menganggap kami tidak perlu bermandi peluh kerana sudah layak ke suku akhir tapi bagi saya, kami tetap perlu memberikan saingan kepada mereka.

“Walaupun beberapa pemain sedang mengalami kecederaan seperti Gary Steven Robbat dan Luciano Figueroa, saya percaya jurulatih akan tetap menurunkan pemain yang terbaik dalam pasukan utama.

“Perlawanan ini boleh dikatakan sebagai satu perlawanan pemanas badan sebelum perlawanan suku akhir nanti, tetapi pendekatan kami ketika ini adalah untuk menumpukan satu perlawanan demi satu perlawanan, sebelum memikirkan FELDA United yang saya anggap sebagai satu perlawanan yang menarik musim ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selain JDT dan Sarawak, ATM juga akan berusaha untuk ke pusingan seterusnya menentang Perak di Paroi, esok.

Other posts by