Featured, Football

Dez Corkhill: 2016 bakal menjadi kebangkitan bola sepak Malaysia

Originally written by Dez Corkhill
Translated by Omar Zin

Satu kebangkitan dari segi keyakinan meskipun tewas kepada Emiriah Arab Bersatu diikuti dengan kekalahan yang memalukan kepada Palestin, menutup tirai tahun yang cukup mengecewakan buat bolasepak Malaysia. Jadi, apa yang ada pada 2016?

Walaupun Piala Malaysia masih lagi sedang berlangsung, pelbagai cadangan sudah mula diketengahkan bagi saingan domestik 2016, yang dikatakan bakal bermula pada 15 Januari. Jadual musim baru masih lagi belum dikeluarkan, namun memandangkan perlawanan akhir Piala Malaysia telah ditunda pada 12 Disember, semua pasukan kemungkinan besar bakal memulakan musim baru pada bulan Februari.

Selepas pelbagai reaksi negatif berkenaan dengan pembayaran gaji tertunggak, antaranya Kelantan dan ATM, pembubaran pasukan Liga FAM, Real Mulia yang baru sahaja berusia setahun, dan kekeliruan terhadap siapakah bakal menjadi jurulatih Selangor yang secara tidak langsung telah menyumbang kepada berita-berita negatif dalam saingan domestik kali ini.

Photo Credit: Goal
Photo Credit: Goal

Justeru itu, satu-satunya cara untuk melihat perkara yang positif adalah bersedia untuk musim baru yang bakal menjadi tahun yang penting untuk memulakan satu pembaharuan masa panjang dan meningkatkan reputasi kelab serta pasukan negeri untuk peringkat domestik. Itu sudah semestinya.

Ada yang menganggap kebangkitan bolasepak Malaysia telah bermula lima tahun yang lalu ketika penyiar (Astro Arena) membuat satu pendekatan yang positif terhadap bola sepak domestik, tetapi akhirnya gagal setelah kontrak tamat pada tahun 2014. Namun cuba kita lihat dengan teliti, masih ada tanda-tanda positif yang kebangkitan ini, versi ke-2, sedang menanti pada masa hadapan. Mungkin tidaklah bangkit secara mendadak di peringkat antarabangsa, tetapi jika di peringkat domestik, sememangnya ada sebab-sebab yang kukuh mengapa kita perlu kekal optimis.

Sebagai bukti, lihat dalam ruangan “berita positif”:

Kejayaan juara liga Johor Darul Takzim di Dushanbe, Tajikistan dengan menjuarai perlawanan akhir Piala AFC telah meletakkan Malaysia di satu tahap yang lebih tinggi dari segi permainan atas padang. Walaupun diakui kualiti pertandingan Piala AFC boleh dikatakan agak rendah, ekoran penggantungan FIFA terhadap pasukan-pasukan dari Kuwait di peringkat separuh akhir, namun kejayaan luar biasa di Dushanbe pastinya mampu memberikan satu kepercayaan bahawa pemain-pemain Malaysia mampu meraih kejayaan di peringkat yang lebih tinggi dari ASEAN.

Walaupun JDT telah berjaya membuktikan bahawa mereka adalah pemenang dalam kedua-dua peringkat domestik dan AFC, perkara yang bagusnya, Liga Super Malaysia masih lagi berada dalam keadaan kompetitif. Harapan Pahang untuk menjadi juara liga hanya berakhir pada hari terakhir liga, dan pasukan-pasukan seperti Selangor, Pahang dan Terengganu (biarpun lewat) telah menunjukkan bahawa mereka semua mampu menyaingi JDT.

Asiana.my
Asiana.my

JDT juga telah melakukan sesuatu yang boleh dijadikan contoh dari segi cita-cita dan pelaburan di luar padang. Pusat latihan bertahap moden yang sedang dibina ketika ini sudah hampir sedia untuk digunakan, selari dengan usaha untuk melancarkan liga-liga remaja dan pasukan-pasukan pelapis di seluruh negeri, semua ini ternyata adalah satu usaha ke arah kemajuan bolasepak di Johor.

Pelaburan dari segi kewangan juga sudah meningkat dan boleh dikatakan lebih tinggi daripada mana-mana pasukan sebelum ini.  Tetapi seperti yang dinyatakan oleh Keesahanan Sundaresan dalam artikel Fourth Official baru-baru ini, perlu ada usaha untuk melaksanakan satu peralihan budaya dan strategi yang terbaik dari segi pemasaran, penajaan, penglibatan orang ramai, pusat kemudahan untuk bermain dan berlatih, aktiviti media dan juga penglibatan peringkat belia. Semua ini adalah contoh-contoh yang boleh dipelajari dan diikuti oleh pasukan-pasukan dan persatuan-persatuan negeri, seperti apa yang dilakukan oleh pasukan media sosial Terengganu FA ketika ini.

Tahap ‘hiburan’ dalam liga juga adalah sangat tinggi. Dalam Piala Malaysia, purata jaringan setiap perlawanan dalam peringkat kumpulan setakat ini adalah 3.06. Itu rekod kedua tertinggi selepas Liga Super yang mempunyai purata jaringan 3.11 setiap perlawanan.

Malangnya, kerana statistik penting tidak direkodkan secara rasmi, kita tidak akan tahu berapa banyak percubaan yang dilakukan dalam setiap perlawanan, mahupun berapa peratus percubaan yang telah diselamatkan oleh penjaga gol untuk dijadikan sebagai satu perbandingan tambahan, tetapi jika digunakan sebagai pengukur untuk “hiburan”, statistik jaringan setiap perlawanan boleh dibandingkan dengan beberapa liga seperti di China (2.8 jaringan setiap perlawanan), Jepun (2.68), Korea (sekadar 2.42), Singapura (2.69) dan Liga Thai yang popular (2.79).

Asiana.my
Asiana.my

Pada pendapat yang pakar dan berpendidikan dalam bolasepak, mereka menganggap kekurangan kualiti dan tahap kecergasan yang rendah adalah antara dua sebab utama mengapa terlalu banyak gol yang dijaringkan dan insiden-insiden di hadapan pintu gol dalam saingan domestik bolasepak Malaysia, sehingga perkara ini juga terjadi di peringkat antarabangsa. Tetapi perkara ini telah lama menjadi penyumbang utama dari segi hiburan, dan menjadi tarikan kepada setiap perlawanan dalam liga kita.

Keuntungan terbesar di Malaysia adalah sokongan padu terhadap bolasepak terutamanya yang mempunyai kaitan dengan negeri jika pasukannya bermain dengan baik. Cuba lihat hampir 40,000 penyokong dari Melaka meraikan kejayaan pasukan mereka yang telah berjaya layak ke Liga Perdana dari Liga FAM.

Kehadiran penonton dalam Liga Super dan Piala Malaysia juga sangat bagus – Sime Darby, PDRM, dan ATM dikecualikan – walaupun ketiadaan siaran langsung dari televisyen dan liputan penuh dari media musim ini. Kemasukan Pulau Pinang dan Kedah dalam saingan domestik yang tertinggi juga akan menyumbang lagi kepada minat dan jumlah kehadiran penonton di stadium, manakala kehilangan peminat Sime Darby di Liga Perdana memberikan kita satu lagi contoh bahawa kelab tanpa peminat hanya mampu berjaya dalam tempoh yang singkat sahaja, dan kehilangan mereka adalah sangat jarang diratapi.

Dalam saingan Piala Malaysia, kita sudah melihat beberapa corak permainan yang menarik dan sangat menyegarkan. Kemenangan Kedah 5-0 terhadap Terengganu boleh dikatakan persembahan terbaik 2015 dengan pencapaian yang luar biasa dari Helang Merah dan satu lagi pasukan dari Liga Perdana, PKNS apabila berjaya melayakkan diri ke saingan kalah mati – tidak kurang juga pencapaian Pulau Pinang yang berjaya mendapatkan empat mata daripada juara bertahan Pahang dalam peringkat kumpulan – semua ini memberitahu kita bahawa terdapat sesuatu yang hebat dalam bolasepak Malaysia. JDT mungkin mendapat banyak perhatian dari pelbagai pihak, tetapi jarang ada perlawanan yang tidak menarik baik dalam liga mahupun Piala Malaysia.

Photo Credit: thenational.ae
Photo Credit: thenational.ae

Lupakan peristiwa buruk menentang Palestin, pasukan kebangsaan pun sudah memulakan proses pemulihan selepas Abu Dhabi. Kekalahan 10-0 kepada UAE merupakan satu keputusan yang secara tidak langsung mendedahkan isu-isu di dalam dan luar padang. Bekas jurulatih Dollah Salleh boleh dianggap sebagai Kevin Keegan versi Malaysia – sangat hebat dan berjaya di peringkat domestik, tetapi apabila sampai di peringkat antarabangsa, dia gagal dalam memilih pemain-pemain yang mampu membantu pasukan negara.

Ong Kim Swee pula lebih teratur dan menggunakan pendekatan yang lebih berdisiplin, walaupun pasukan negara dikejutkan oleh Palestin, prestasi yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Arab Saudi dan UAE – meskipun kedua-duanya berakhir dengan kekalahan – sedikit sebanyak memberikan harapan bahawa pendekatan yang lebih berdisiplin mampu meningkatkan prestasi dan menghasilkan keputusan yang lebih positif.

Malah, rasa negatif terhadap kekalahan “10-0” mampu ditukar kepada positif. Rasa tidak puas hati terhadap keputusan tersebut sangat tinggi sehinggakan pengkritik-pengkritik veteran yang telah bertahun-tahun kecewa, mula mengusulkan pelbagai cadangan untuk maju ke hadapan.

Wang yang akan dijana daripada hak penyiaran – jika ia diurus dengan baik dan adil, ia bakal menjanjikan peluang untuk setiap pasukan dalam liga mengembangkan bisnes mereka dan memastikan masalah gaji tertunggak pemain tidak akan berulang lagi. Jika perjanjian penyiaran dapat diselesaikan sebelum liga bermula, liga kali ini – harapnya – dapat ditingkatkan dengan kembalinya siaran seperti “Astro Arena” serta liputan yang positif dan menyeluruh.

Photo Credit: Johor Southern Tigers
Photo Credit: Johor Southern Tigers

Kemudahan padang juga sering dipertikaikan. Sekali lagi, perkara ini sengaja diperbesar-besarkan sahaja. Walaupun ketandusan stadium khas untuk bolasepak sememangnya tidak membantu suasana hari perlawanan, namun jika dilihat semula kemudahan yang ada di sini, walaupun boleh dijaga dan diberi perhatian yang lebih dari sebelum ini, ia lebih bagus daripada apa yang ada di negara-negara lain.

Shah Alam merupakan satu stadium yang moden dan mempunyai padang yang cukup bagus; Larkin pula telah diubahsuai sejak empat tahun yang lepas dengan keadaan padang seperti berjalan di atas karpet; serta perkenalan semula Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang cantik, biarpun tidak berbumbung, berstrukturkan padang yang sangat selesa.

Stadium Pulau Pinang juga begitu. Harapnya Harimau Kumbang dapat terus menggunakan Stadium Bandaraya kerana mereka mempunyai suasana yang luar biasa ketika hari perlawanan. Kedua-dua Jalan Besar dan SportsHub juga begitu, ianya satu bangunan sukan yang cukup indah. Tidak lupa juga kepada Felda yang telah membuat pelaburan untuk membangunkan satu stadium khas untuk bolasepak, satu potensi yang amat besar buat pasukan-pasukan lain di Malaysia untuk dijadikan contoh pada masa akan datang di dalam era baru penswastaan liga.

Ada juga beberapa stadium yang memerlukan perhatian, tetapi ianya masih lagi mengkagumkan. Stadium Darul Makmur baru-baru ini telah melalui proses pembaharuan, di mana sejajar dengan Stadium Ipoh, Stadium Paroi, serta Stadium Sarawak dan tidak ketinggalan Stadium Darul Aman di Alor Setar – meskipun semua stadium-stadium yang dinyatakan memerlukan sedikit ‘perhatian’ dan cat yang baru, stadium-stadium yang ada di sini sebenarnya sangat diidam-idamkan oleh mana-mana pasukan di seluruh dunia.

Photo Credit: Kelantan FA
Photo Credit: Kelantan FA

Malah Stadium Kelantan yang sering dilanda banjir mempunyai keindahannya yang tersendiri serta mempunyai suasana yang cukup hebat dengan adanya scoreboard yang baru, seperti yang ada di Johor, sememangnya satu penambahan yang berkualiti tinggi. Jadi, setiap pasukan dalam liga tertinggi tahun depan dengan sedikit pembersihan dan cat yang baru, mampu menjadi satu stadium yang berbaloi untuk dibandingkan dengan mana-mana negara lain. Namun diakui tidak banyak yang mempunyai pusat latihan yang mencukupi. Ini, semestinya perlu menjadi langkah yang seterusnya.

Perkara utama dalam pembentukan FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership) adalah untuk memastikan setiap pasukan diuruskan secara profesional dan tidak bergantung kepada satu saluran pendapatan sahaja di mana ini merupakan satu langkah yang besar dan perkara yang tepat untuk dilakukan. Memang benar, perkara ini telah dijanjikan sebelum ini, tetapi kali ini terdapat satu struktur yang telah dibentuk untuk menguruskan, melancarkan dan membantu ke arah perubahan. Mereka juga diharap mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan.

FMLLP sudah pun berjalan dengan lancar dan diuruskan dengan realistik. Malah beberapa cadangan seperti mengubah waktu jendela perpindahan untuk selari dengan semua liga-liga lain di dunia serta membolehkan Piala Malaysia berjalan seiring dengan liga sehingga ke hujung musim, kedua-duanya telah pun dicadangkan.

Pengenalan statistik Opta juga bermakna FMLLP mengambil serius terhadap para pemain dan keputusan dalam liga. Akhirnya! Ianya sangat mengejutkan sebelum ini kerana tiada catatan sejarah atau statistik terkini (yang mudah didapati) untuk liga berprofil tinggi seperti Liga Super. Kalau kita mahu biodata yang lengkap, contohnya , Norshahrul Idlan Talaha, sumber maklumat yang TERBAIK adalah Wikipedia. Pelik tapi benar.

Photo Credit: sportradar
Photo Credit: sportradar

Dengan adanya Sportradar, mereka akan dapat mengesan beberapa keputusan yang “luar biasa” yang biasanya membabitkan keputusan yang mengejutkan dan tidak dijangka. Juara Liga Inggeris Chelsea tewas  dalam tujuh daripada 12 perlawanan dan ianya masalah biasa bolasepak. Di sini, “mengatur perlawanan” merupakan satu subjek yang sangat sensitif sehinggakan Menteri Sukan sendiri perlu mengeluarkan kenyataan mengenainya. Sportradar akan membantu mengikis pemikiran negatif tersebut.

Banyak perkara yang telah dilakukan untuk 2016 dan bunyinya seperti satu petanda yang baik. Liga yang kompetitif; pasukan-pasukan yang mempunyai pengikut yang banyak pula layak ke liga tertinggi; liga juga mampu melahirkan juara Piala AFC; mempunyai hasil pendapatan yang cukup tinggi dan statistik juga akan direkodkan sepenuhnya.

Sememangnya kita mengharapkan kemajuan yang signifikan. Tetapi…

Di sebalik kehebatan JDT yang mampu membuat satu pelaburan yang besar dari segi gaji pemain dan bonus, meningkatkan tahap kemudahan sedia ada, inovasi di luar padang dan kita difahamkan juga terdapat pembinaan stadium baru, JDT sebenarnya adalah pengecualian. Hanya beberapa pasukan sahaja yang mampu menandingi pelaburan seperti mereka. Selagi pemikiran pembiaya pasukan tidak berubah, ia akan menjadi satu perkara yang mustahil untuk menandingi JDT, di mana akan ada ancaman yang liga akan didominasi oleh satu pasukan pada masa akan datang. Dan ianya tidak menguntungkan mana-mana pihak, kecuali Johor.

Dan jika pasukan-pasukan selain dari Felda tidak mempunyai stadium mereka sendiri, apa cara lain untuk mereka janakan pendapatan pada hari perlawanan?  Adakah pasukan-pasukan sudah bersedia untuk bergerak secara sendiri, tanpa bergantung kepada naungan dari mana-mana pihak – baik ahli politik mahupun kerabat diraja?

Photo Credit: Astro Arena
Photo Credit: Astro Arena

Pasukan kebangsaan sentiasa menimbulkan perdebatan dari pelbagai pihak, dan masih ada kebimbangan terhadap ketandusan pemain-pemain muda yang berkualiti. Prestasi Sukan SEA dan kelayakan AFC Bawah-23 hanya memburukkan imej bolasepak remaja sahaja. Untuk mengatakan  yang pasukan Lim Teong Kim Bawah-13 mendapat liputan meluas di seluruh negara hanya kerana memenangi beberapa pertandingan peringkat remaja, ianya adalah bukti betapa kurangnya berita-berita yang positif dari pemain-pemain yang lebih senior. Ianya sangat mengejutkan untuk pasukan seperti B-13 mendapat liputan sebegitu rupa.

Biasanya, artikel-artikel dari media adalah sangat penting dalam menggambarkan imej sukan negara dan media biasanya akan mencari berita-berita sukan dalam sukan bolasepak, tetapi malangnya mereka tidak mempunyai sebab yang kukuh mengapa mereka harus membuat liputan mengenai liga-liga senior dan pasukan negara. Terlalu ramai “pemain yang tidak mendapat gaji”, “jurulatih ‘direhatkan’ berbanding terus dipecat”, dan terlalu banyak harapan palsu yang membuatkan media-media tempatan berasa bosan. Terlalu banyak saat-saat “awak tentu bergurau”.

Dari segi liputan sehari-harian dan perbincangan mengenai taktik dan corak permainan, liputan-liputan seperti ini adalah sangat sedikit. Sebagai contoh, “Gegenpressing” telah menjadi satu perbincangan yang meluas apabila Jurgen Klopp tiba di Anfield, tetapi berapa banyak artikel yang kita dapat lihat bercakap tentang corak permainan atau formasi yang digunakan oleh pasukan-pasukan Malaysia?

Siaran langsung perlawanan musim ini juga tidak teratur, dan liputan mengenai perlawanan-perlawanan lain pula tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Sekarang pun, walaupun berjuta-juta ringgit telah dijanjikan, maklumat mengenai siaran televisyen untuk musim 2016 masih lagi samar-samar. Di mana peminat boleh mendapatkan siaran langsung dan sorotan perlawanan? Saya sangat-sangat berharap dapat memberitahu kamu semua.

Antara salah satu kekecewaan terbesar sebagai salah seorang penyokong bolasepak domestik ini adalah, wujudnya beberapa isu yang penuh dengan persoalan.

Photo Credit: espnfc.com
Photo Credit: espnfc.com

Adakah wakil Singapura akan dibenarkan untuk bertanding lagi pada musim 2016? Satu mesyuarat akan diadakan pada akhir bulan November ini, tetapi bukankah itu terlalu lambat? Jadual-jadual perlawanan sepatutnya sudahpun dikeluarkan tetapi bukan sahaja tarikh dan tempat, malah kita masih lagi tidak tahu pasukan apa yang akan bertanding pada musim depan.

Bila pula liga akan bermula? Adakah akan ada lagi situasi di mana sejak dua musim yang lalu, tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia ditukar dari tarikh ini ke tarikh itu? Tahun ini, disebabkan jerebu, perlawanan antarabangsa, dan “kejutan” di mana JDT berjaya mara ke pusingan akhir Piala AFC, perlawanan akhir Piala Malaysia telah ditukar dari pertengahan bulan November kepada 12 Disember.

Musim lepas, tarikh 8 November dibawa ke hadapan iaitu pada 1 November kurang sebulan sebelum perlawanan itu sepatutnya dilangsungkan. Rasionalnya adalah untuk memberikan masa yang lebih untuk pasukan kebangsaan berlatih bersama sebelum bermulanya Piala AFF. Jika tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia yang telah diadakan sejak tahun 1921 tidak cukup penting untuk dilindungi, jadi untuk apa Piala Malaysia?

Bayangkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah ditukar? Pastinya ramai yang akan marah. Di sini, perlawanan utama ditukar begitu sahaja, dan tiada siapa yang kisah. Ini boleh dijadikan sebagai satu contoh yang terbaik mengapa perlunya pelan yang stabil serta memberikan mesej yang konsisten. Jika bolasepak Malaysia sendiri tidak boleh melindungi perlawanan berprestij, mengapa perlu orang lain melakukan perkara yang sama? Begitu juga dengan penaja.

Photo Credit: Asiana.my
Photo Credit: Asiana.my

Nilai yang besar sudah pun disumbangkan dalam bolasepak Malaysia. Tetapi jika anda terlibat dalam menguruskan dana dari syarikat penaja yang besar, dan anda tiba-tiba diminta untuk menaja liga, tetapi orang yang bertanggungjawab mengusulkan cadangan itu tidak dapat memberitahu anda pasukan apa yang bertanding, bilakah pertandingan akan bermula, hari apakah perlawanan sepatutnya dibuat, dan seluas manakah liputan media? Apa reaksi anda?

Johor telah menguruskan organisasinya dengan cemerlang, baik di luar mahupun di atas padang. Beberapa prinsip juga telah diterapkan. Sekarang terpulang kepada yang lain, terutamanya pengurusan dan pengurus kewangan pasukan.

Masih lagi banyak perkara yang perlu dilakukan terutamanya di Kuala Lumpur dalam mewujudkan semula kredibiliti di peringkat domestik. Jika terdapat mana-mana pasukan yang mahu melakukannya, inilah masanya untuk melakukannya. Tiada masa yang lebih baik daripada ini.

Other posts by