Football

Saya yakin JDT mampu tewaskan Felda – Mario Gomez

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez menganggap perlawanan menentang Felda United malam ini akan menjadi satu pertembungan yang sengit di antara kedua-dua pasukan.

JDT hanya mampu mencatatkan seri 1-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Sarawak pada Sabtu yang lalu malah pasukan Harimau Selatan itu tewas 2-1 kepada Felda di Selayang pada perlawanan terakhir Liga Super Malaysia.

Kata Gomez, para pemain perlu bangkit daripada perlawanan sebelum ini demi meraih kelebihan yang selesa di tempat lawan.

“Kami gagal menemui rentak dalam perlawanan sebelum ini kerana pemain masih lagi keletihan kerana jadual perlawanan yang agak padat. Saya sudah mengingatkan semua pemain supaya kekal fokus dan bermain sepenuh hati sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kali ini kami akan cuba lagi tetapi dengan persediaan yang lebih radikal kerana kami tidak mahu kalah lagi.

“Seperti yang kita semua tahu, Felda merupakan salah satu pasukan yang digeruni di Malaysia. Sebab itu beberapa perubahan telah dilakukan dan semua pemain perlu sentiasa berwaspada dengan penyerang import mereka.

“Bermain di tempat lawan pada perlawanan pertama ini memberi tekanan yang agak kuat kepada pemain lebih-lebih lagi dengan keadaan Luciano dan Gary yang masih lagi bergelut dengan kecederaan.

“Tetapi saya yakin kemenangan mampu dicapai dengan kerjasama semua pemain kerana Piala Malaysia merupakan sasaran utama kami kali ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Other posts by