Monday, March 8, 2021
Home Football Pahang tidak puas hati dengan hukuman FAM

Pahang tidak puas hati dengan hukuman FAM

0
Photo credits: khairulazrin.wordpress.com

Persatuan Bolasepak Ne­ge­ri Pahang (PBNP) tidak berpuas hati dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menolak sebanyak enam mata pasukan Pahang dalam Liga Super musim ini sekaligus hilang kelayakan untuk bertanding dalam Piala AFC bagi musim 2016.

Keputusan itu dilakukan setelah dimaklumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bahawa Pahang gagal melangsaikan gaji tertunggak serta pampasan bekas pemain Mohamed Borji, yang pernah bermain di Kuantan pada tahun 2013.

Namun Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FA, Fahrizal Hassan menjelaskan bahawa segala urusan dengan Mohamed Borji telah lama selesai.

“Saya ingin katakan di sini bahawa kami langsung tidak ada bayaran tertunggak kepada Mohamed Borji. Sebelum ini memanglah ada tetapi semuanya sudah terbatal apabila dia sendiri bersetuju untuk menandatangani borang C06 bermakna tanpa sebarang syarat dan tuntutan.

“Jadi adalah tidak wajar untuk Mohamed Borji membuat tuntutan kepada kami sedangkan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua pihak.

“Sekarang ini, kami sedang menunggu penjelasan daripada FAM sama ada borang C06 itu telah dihantar kepada FIFA atau tidak. Saya telah ke FAM hari ini (semalam) dan kini kami sedang menunggu penjelasan dari mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Keputusan tersebut menyebabkan 44 mata yang diraih oleh pasukan Pahang dalam Liga Super sebelum ini menjadi 38 mata, kurang satu mata di belakang Selangor yang memperoleh 39 mata sekaligus layak ke Piala AFC untuk musim depan.