Sunday, March 7, 2021
Home Football 2015 musim terbaik buat JDT – Mario Gomez

2015 musim terbaik buat JDT – Mario Gomez

0
Photo credits: NSTP

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez menganggap tahun 2015 merupakan musim yang terbaik buat pasukan Harimau Selatan itu meskipun gagal menjuarai Piala Malaysia pada musim ini.

JDT tahun ini telah berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super malah melakar sejarah baru dalam bola sepak Malaysia apabila menjadi pasukan Malaysia pertama yang menjuarai Piala AFC sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Kata Gomez, JDT telah bermain dengan baik ketika menentang Felda United di Larkin pada hari Sabtu yang lalu namun menganggap nasib tidak berpihak kepada pasukannya.

“Pemain sudah menghasilkan beberapa peluang, termasuk gol tandukan Hariss yang dibatalkan pengadil, malah kami juga tidak mendapat sepakan penalti walaupun Mahalli dijatuhkan oleh pemain pihak lawan dalam kotak penalti.

“Tetapi saya tidak mahu meletakkan kekalahan ini atas beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil kerana sebenarnya Felda juga bermain dengan amat baik.

“Kami juga bermain dengan baik, namun tuah tidak memihak kepada JDT. Bagaimanapun, saya berpuas hati dan gembira dengan pencapaian pemain dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ini adalah musim yang terbaik bagi kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.