Featured, Football

Ekslusif: “Bolt idola saya, Olimpik 2020 sasaran saya” – Badrul Hisyam

Ada perumpamaan menyatakan jika anda tidak ingin menjadi yang terbaik, jangan melakukan apa-apa pun. Pelari pecut sensasi Malaysia, Badrul Hisyam cukup sedar cabaran yang menantinya di pentas antarabangsa namun dia tidak terbawa-bawa oleh situasi itu.
 
Badrul kini lebih terkenal di negara sebagai pemecah rekod kebangsaan Watson Nyambek secara tidak rasmi dalam acara 100M di Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei tahun lalu, ia situasi yang sekaligus melonjak reputasinya di seluruh negara. Dengan jangkaan hebat terhadap dirinya, hadir tanggungjawab yang cukup besar namun pada masa yang sama, ada pulangan lumayan yang menanti.
 
Badrul secara rasminya diumumkan selaku ‘Friend of PUMA’ dalam satu majlis yang berlangsung di pusat membeli-belah One Utama awal minggu ini di mana dia turut diberi peluang untuk melancarkan kasut keluaran terbaru PUMA, Ignite Ultimate. Kami berkesempatan untuk menemubual Badrul sejurus selepas majlis tersebut di mana Badrul menceritakan keterujaan perjanjian dengan PUMA, selain menyatakan Usain Bolt idolanya, yang turut merupakan sebahagian daripada keluarga PUMA.
 
Photo Credit: Lekshman Subramaniam / FourthOfficial.com
Photo Credit: Lekshman Subramaniam / FourthOfficial.com

“Perjanjian ini ibarat satu titik permulaan buat saya. Idola saya adalah Usain Bolt yang turut merupakan duta PUMA dan beliau banyak menerima penajaan sejak berusia 15 tahun. Tapi bagi saya? Saya berusia 19 tahun, jadi tidak banyak bezanya!”, ujar Badrul yang begitu teruja sekali.

 
Pada usia 19 tahun, Badrul sudah secara konsisten melakukan catatan terbaik dalam kesemua acara yang disertainya. Selepas pencapaian menakjubkan di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN, Badrul digesa untuk beraksi di luar negara untuk memperbaiki catatan masanya, selain untuk turut membina reputasi di pentas antarabangsa. Namun Badrul lebih tahu dirinya dan sudah ada perancangan sendiri ketika ini.
 
“Saya cukup akrab dengan jurulatih saya dan mempercayai semua nasihat yang diberikan. Sudah tentu, ada kemahuan untuk beraksi di luar negara, namun banyak lagi masa buat saya dan saya bercadang untuk beraksi untuk banyak lagi tahun yang mendatang.
 
Ketika ini, saya fokus sepenuhnya kepada kejohanan tempatan. Saya kini giat menjalani latihan untuk Terbuka Pahang, Mac depan dengan harapan untuk memecah rekod 100m di sana, terutama sekali dengan kasut baru saya sekarang! Saya turut ada temasya SUKMA 2017 tahun depan, jadi ia turut berada dalam pelan saya,” tambah Badrul.
 
Photo Credit: NSTP
Photo Credit: NSTP

Tidak seperti atlit lain, Badrul cukup jelas dengan cita-citanya. Dia tahu apa kemahuannya. Dia sedar atlit Malaysia bergelut untuk mencipta nama di pentas antarabangsa. Dia tahu tahun 2004 adalah kali terakhir pelari pecut lelaki negara beraksi di pentas Olimpik di Athens menerusi Nazmizan Muhammad. Kini, Badrul pasang impian untuk beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

 
“Perjanjian dengan PUMA melonjak keyakinan saya dan ketika ini, saya sangat bermotivasi untuk terus melakar kejayaan lebih besar. Kejayaan tidak datang dengan senang, ia satu hakikat dan saya sedar akan itu. Akan ada masa yang susah dan pengorbanan yang perlu dilakukan.
 
“Semua ini akan jadi pegangan saya setiap hari dalam saya mengejar impian untuk layak beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Jepun,” tambah Badrul.

Other posts by