Football

JDT akan mengadakan sesi latihan bersama Valencia minggu ini

Johor Darul Ta’zim akan menerima kunjungan gergasi Sepanyol, Valencia CF dalam satu sesi latihan bersama di pusat latihan Dato Suleiman Mohd Noor minggu ini.

Beberapa pemain Valencia dijadualkan akan hadir bagi sesi latihan yang dijadualkan pada hari Khamis, sehari selepas pertemuan JDT menentang Pahang dalam saingan Liga Super. Pengurusan pasukan juga akan terbang bersama bagi menghadiri mesyuarat strategik untuk membincangkan kerjasama bersama pengurusan JDT.

“Ini sebahagian pendekatan Yang Mulia TMJ bagi membangunkan bola sepak di Johor. Sempena dengan sesi latihan, wakil dari Valencia dan La Liga akan bertemu dengan pengurusan tertinggi JDT bagi membincangkan pembangunan berterusan untuk akademi kami,” satu kenyataan dari laman Facebook Rasmi Johor Southern Tigers.

Photo Credit: Valencia
Photo Credit: Valencia

Menurut maklumat dari laman web rasmi Valencia, Javi Fuego, Santi Mina, Matthew Ryan dan Jaume Domenech akan berada di Singapura bersama ketua jurulatih Pako Ayestaran dan legenda Valencia, David Albelda dan Gaizka Mendieta.

“Sepanjang lawatan mereka ke Asia, Valencianistas akan melawat pusat komuniti di satu kawasan kejiranan di Singapura, mengambil bahagian dalam sidang perniagaan bersama Turismo Valencia dan Lladró, menyokong kempen wanita UN di rantau itu, menghadiri acara yang dianjurkan oleh Kesatuan Olimpik Singapura, hadir di sesi bertemu peminat cilik dari Singapura dan Australia, melawat kelab bola sepak Malaysia Johor Darul Ta’zim, dan mengambil bahagian dalam acara kebajikan “Football with a Heart’ – satu perlawanan bola sepak yang akan melibatkan beberapa personality ternama dari Singapura,” jelas kelab Sepanyol itu dalam satu kenyataan di laman berkenaan.

Photo Credit: Johor Southern Tigers
Photo Credit: Johor Southern Tigers

Valencia dimiliki oleh Peter Lim, seorang ahli perniagaan dari Singapura, yang juga mengendali satu kesatuan di Singapura yang menawarkan biasiswa sukan kepada atlet tempatan. Beliau merupakan rakan karib Tunku Ismail dan dilaporkan memainkan peranan penting dalam membantu JDT mewujudkan perhubungan dengan individu penting dalam arena bola sepak antarabangsa.

Pada bulan Februari, TMJ dilaporkan bertemu bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid Jose Mourinho, ejen super Jorge Mendes dan juga Peter Lim. Tengku Mahkota Johor kemudian berkelana ke Eropah, bertemu pengerusi dari beberapa pasukan seperti Paris St. Germain, Real Madrid dan juga Barcelona.

Other posts by