Badminton

Chong Wei dilantik duta Purple League

Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei telah dilantik sebagai duta Kejohanan Badminton Purple League musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Purple League (M) Sdn Bhd, Datuk Jack Koh berkata, pelantikan pemain badminton nombor dua dunia itu adalah berdasarkan rekod cemerlang beliau.

Beliau menyatakan, melalu pelantikan itu, pemain berasal dari Pulau Pinang itu dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau untuk melahirkan lebih ramai pemain muda untuk negara.

“Kami rasa kerjasama di antara dua pihak ini akan membantu kami untuk berkerja dengan lebih dekat dari segi pembangunan selain daripada menggunakan imej beliau sebagai tokoh badminton negara,” kata beliau dalam satu sidang media hari ini.

Bercakap mengenai Kejohanan Purple League 2016/17, Koh berkata pasukan bertanding akan kekal lapan pasukan tetapi mendedahkan bahawa Junior Purple League akan menyaksikan pengenalan divisyen kedua untuk menghasilkan lebih ramai pemain muda berbakat.

“Setakat ini, kebanyakan pasukan bertanding mengambil pemain negeri berbanding menghasilkan pemain sendiri dan pengenalan divisyen kedua Junior Purple League akan menyaksikan lebih banyak pasukan yang akan turut serta,” tambah Koh.

Sementara itu, Chong Wei memuji usaha pihak penganjur kerana meneruskan kejohanan itu yang mensasarkan untuk menghasilkan lebih ramai pemain badminton berbakat dalam negara.

“Saya sendiri bermain dalam liga ini dan liga lain di Indonesia dan China, oleh itu saya rasa liga ini salah satu cara terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat.

“Pada masa yang sama, penyertaan sebilangan daripada 10 pemain terbaik Purple League dalam dua musim yang lalu akan membolehkan beberapa pemain kebangsaan seperti Iskandar Zulkarnain mengukur kebolehan mereka,” ujar pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik tersebut.

Mengikut rekod, Kelab Badminton Muar (Muar BC) telah memenangi kejuaraan berturut dalam kejohanan ini (2014/15 dan 2015/16).

Kejohanan Badminton Purple League diperkenal pada tahun 2013 oleh Koh, di mana ia dianjurkan untuk mencipta satu platform baru bagi menyokong arena badminton negara sambil menaikkan taraf sukan itu dan melahirkan bakal juara.

Other posts by