Badminton

Goh Jin Wei mungkin sertai Sukan Olimpik Rio?

Harapan pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi untuk bermain di Sukan Olimpik Rio de Janeiro nampak samar selepas mengalami kecederaan di buku lali kanannya selepas tercedera ketika menyertai Sirkit Kebangsaan Pertama di Stadium Juara, Bukit Kiara baru baru ini.

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) , Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, bagaimanapun belum membuat sebarang keputusan, kerana masih menunggu laporan kecederaan pemain ranking 29 dunia itu.

Beliau berkata, jika Jing Yi gagal pulih, dia akan digantikan oleh pemain meningkat naik Goh Jin Wei.

“BAM telah membawa perkara ini ke Jawatankuasa Pemilihan MOM, dan jika Tee Jing Yi belum pulih…jika kita dapat mengesahkan kecederaan beliau, baru kami akan dibenarkan untuk menghantar calon pengganti.

“Masih terlalu awal untuk membuat keputusan, kami tidak tahu kecederaan beliau memakan masa lama atau dia boleh pulih secepat mungkin. Kalau menurut ranking, Goh Jin Wei adalah calon terdekat (kepada Jing Yi),” jelas beliau.

Selain Jing Yi, pasukan badminton negara telah layak mengikut merit untuk sukan Olimpik dalam semua kategori, menerusi Datuk Lee Chong Wei untuk perseorangan lelaki, acara beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ( Beregu campuran) dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei (Beregu wanita)

Jika pulih, Jing Yi akan melakukan penampilan keduanya di Sukan Olimpik selepas kali pertama layak pada tahun 2012 di London.

Other posts by