Pemain badminton negara mara ke pusingan kedua Terbuka Australia

0
Photo Credit:

Pemain badminton negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menumpaskan Brice Leverdez dari Perancis di Sydney, Australia semalam.

Juara Kebangsaan 2015 itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menang 21-12, 21-14 ke atas Leverdez dan bakal bertemu Sho Sasaki dari Jepun yang menewaskan Hsu Jen Hao 21-14, 21-12.

Bekas Juara Remaja Dunia, Zulfadli Zulkiffli juga mara ke pusingan kedua perseorangan lelaki selepas menewaskan wakil tuan rumah Anthony Joe 21-13, 21-6.

Zulfadli akan bertemu Cheng Long dari China yang kehilangan kedudukan nombor satu dunia kepada Datuk Lee Chong Wei, minggu lalu.

Pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi dan Goh Jin Wei turut mara ke pusingan kedua kejohanan selepas menewaskan lawan masing masing semalam.

Jing Yi menewaskan pemain Australia Wendy Chen Hsuan Yu 21-18, 21-11 sementara Jin Wei menewaskan Michelle Li dari Kanada 21-18, 21-10.

Tiga pasangan bergu negara turut mara ke pusingan kedua, diketuai pasangan nombor satu negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang menumbangkan bergu India Nikhar Garg/M.Anilkumar Raju 21-12, 21-10.

Koo Kien Keat/Tan Boon Heong pula terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pasangan Belgium Matjis Dierickx/ Freek Golinski 21-16, 16-21, 21-13, sementara Nur Mohd Azriyn Ayub/ Jagdish Singh mengalahkan bergu tuan rumah Cham Chen/ Sagar Kumar 21-15, 21-6.

Satu-satunya bergu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan dua bergu campuran Tan Kian Meng/Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut mara ke pusingan seterusnya.