Football

Euro 2016: Perancis lancarkan aplikasi ‘Amaran Keganasan’

Satu aplikasi telefon pintar untuk memberi amaran kepada pengguna berkenaan kemungkinan serangan keganasan dilancarkan oleh kerajaan Perancis hari ini menjelang Euro 2016, selepas keresahan berkenaan keselamatan kejohanan tersebut yang meningkat.

Aplikasi tersebut, yang boleh dimuat turun secara percuma dalam bahasa Perancis atau Inggeris, akan menghantar amaran kepada pengguna “jika terdapat kemungkinan serangan,” beritahu kementerian dalam negeri, yang telah memperkenal kemudahan berkenaan.

Ia juga akan memberi amaran kepada pengguna mengenai “insiden yang tidak dijangka” seperti pelanggaran barisan pertahanan keselamatan.

Amaran akan muncul di aplikasi berkenaan kurang 15 minit selepas insiden disahkan oleh pihak berkuasa, dan akan disesuaikan mengikut kedudukan sebenar pengguna.

Kerajaan Perancis berkata aplikasi berkenaan dibangunkan selepas serangan keganasan di Paris pada bulan November – termasuk di stadium utama – yang membunuh 130 orang.

Pada hari Selasa, Britain memberi amaran kepada penyokong yang akan ke Perancis untuk kejohanan bola sepak berkenaan bahawa terdapat ‘ancaman keganasan yang tinggi’ dan stadium, kawasan peminat dan hab pengangkutan mungkin menjadi sasaran.

Kejohanan yang berlangsung selama sebulan ini akan bermula pada hari Jumaat dan dijangkan seramai dua juta pelawat akan ke Perancis.

Pengguna aplikasi berkenaan boleh memantau amaran hingga lapan kawasan geografi berbeza, membenarkan mereka memeriksa keadaan ahli keluarga atau rakan.

Ia juga akan memberi nasihat mengenai bagaimana untuk kekal selamat, dengan maklumat akan disesuaikan mengikut setiap situasi, tambah kementerian berkenaan.

Kerajaan Perancis berharap aplikasi berkenaan akan membantu pengguna menyebarkan maklumat rasmi dan boleh dipercayai mengenai situasi keselamatan di semua media sosial.

Ini boleh membantu Perancis mengelakkan talian kecemasan dibanjiri panggilan, jelas Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve, menambah bahawa aplikasi berkenaan akan “ memberikan maklumat terkini kepada masyarakat.”

Walaupun aplikasi ini dilancarkan untuk Euro 2016, ia akan dinaiktaraf dengan lebih lagi selepas kejohanan itu.

Other posts by