Football

Penyokong England dihalang masuk ke Perancis untuk 2 tahun ekoran keganasan di Euro 2016

Dua penyokong England telah dikenakan hukuman penjara dan digantung dari memasuki Perancis oleh mahkamah Marseille ekoran keganasan penyokong pada hujung minggu lalu.

Alexander Booth dan Ian Hepworth merupakan penyokong pertama yang dikenakan tindakan selepas kekacauan yang berlaku di bandar-bandar Perancis.

Keganasan tersebut mengakibatkan seorang penyokong England mengalami kecederaan kepala yang teruk dan penganjur EURO 2016, UEFA, memberi amaran untuk menyingkirkan England dan Russia jika berlaku lagi insiden ganas sebegitu.

Booth yang berusia 20 tahun dari Huddersfield dikenakan hukuman penjara dua bulan selepas membaling botol ke arah polis dan dihalang daripada memasuki Perancis selama dua tahun.

Hepworth yang berumur 41 tahun dari Sheffield, dikenakan hukuman penjara tiga bulan untuk kesalahan yang sama dan penggantungan yang sama.

Bercakap selepas sesi pendengaran mahkamah, bapa Booth menegaskan anaknya tidak bersalah.

Chris Booth berkata: “Ini perkara paling teruk. Saya rasa marah dan kecewa.

“Bersama abang saya kami berjalan untuk ke kawasan peminat. Kami menaiki kereta api ke sini dari tapak perkhemahan kami.

“Ia mula kecoh di kawasan pelabuhan lama. Kami terkena gas pemedih mata beberapa kali. Kami berundur untuk lari dari kekacauan itu.

“Ketika inilah dia dikatakan membaling botol plastik tetapi abang saya berkata tidak mungkin dia yang membalingnya.

Booth masih memakai jersi Englandnya ketika muncul di mahkamah.

Beliau berkata: “ Saya tidak mempunyai masalah dengan pihak polis. Saya sangat menghormati pihak polis. Saya seorang yang rajin.”

Pendakwa meminta hakim mengenakan hukuman penjara dua bulan kerana itu bermakna kejohanan akan tamat sebaik dia dilepaskan.

Booth berkata: “Saya mahu memohon maaf kepada pihak polis dan juga kepada penduduk serta bandar Marseille. Ini bukan saya. Saya bukan seorang yang ganas.

“Saya sayangkan pekerjaan dan keluarga saya. Saya tidak pernah terlibat dengan hooligan bola sepak.

“Saya berada di tempat dan masa yang salah.”

Hepworth dari Sheffield, dituduh membaling botol ke arah polis dan berjalan untuk mengambil botol kedua.

Lelaki berusia 41 tahun itu mengatakan dia tidak dapat mengingati insiden tersebut.

Pendakwa meminta beliau dikenakan hukuman penjara tiga bulan, dengan mengatakan Hepworth tahu tindakannya kerana melarikan diri selepas itu.

Semua ini terjadi selepas pihak polis Perancis menahan 12 penyokong England atas kesalahan kelakuan ganas sepanjang Euro 2016 – tetapi tiada langsung penyokong Russia yang ditangkap. Semua yang ditangkap termasuk remaja berusia 16 tahun yang dikenakan tindakan kerana membaling botol.

Other posts by