Jang dapatkan pemain sayap A-League dalam misi ke Liga Super

0
Photo Credit: Zimbio

Negeri Sembilan telah menguatkan misi mereka untuk ke Liga Super dengan menandatangani pemain sayap Brisbane Roar, Henrique Silva yang beraksi di A-League.

Pemain Brazil-Australia berusia 31 tahun itu, membuat 136 penampilan untuk Brisbane Roar sejak 2009, dan akan membuat debutnya untuk Negeri Sembilan dalam perlawanan menentang Perlis di Kangar pada 15 Julai nanti.

Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Satwant Singh berkata, mereka tertarik dengan Henrique, yang dijangka akan memainkan peranan penting dalam usaha mereka untuk ke Liga Super musim hadapan.

“Kami memberikan segalanya dalam usaha kami untuk ke Liga Super. Kami gembira dengan kedatangan Henrique. Dia merupakan pemain dengan profil tinggi dan pemain kegemaran penyokong di Australia. Dia seorang pemain yang lincah dan sangat hebat dengan bola,” jelas Satwant.

Skuad Rusa akan membuat dua pertukaran dalam jendela perpindahan kedua dan mereka sedang menguji pemain Perancis, Goran Jerkovic.

Satwant berkata mereka telah membuat keputusan untuk menamatkan khidmat dua pemain import mereka yang akan diumumkan oleh pihak pengurusan kelak.

Negeri Sembilan kini di bawah kendalian Gary Philips yang pernah menjadi jurulatih Sabah dari 2009 hinggga 2011. Skuad Jang pada awal musim telah mendapatkan khidmat empat pemain import – pemain pertahanan Taylor Reagan (Australia), pemain tengah Alex Smith (England) dan Andrew Nabbout (Australia) serta penyerang Joel Chianese (Australia).

Kali terakhir skuad Jang menjulang trofi – Piala Malaysia – adalah pada tahun 2011. Mereka tersingkir ke Liga Premier pada tahun 2013.

Musim lalu, mereka menamatkan saingan Liga Premier di tangga kelima dan tersingkir seawal pusingan pertama dalam Piala FA.

Negeri Sembilan kini berada di tangga kedua dalam Liga Premier dengan 25 mata dari 12 perlawanan. Mereka berada di hadapan JDT II dan Kuala Lumpur dengan hanya perbezaan gol.

Melaka United berada di kedudukan teratas dengan 27 mata.