Football

Messi gagal sempurnakan penalti, Chile kekalkan kejuaraan Copa America

Lionel Messi sekali lagi kempunan untuk menjulang trofi utama bersama pasukan kebangsaan apabila tewas menerusi sepakan penalti 2-4 kepada Chile di perlawanan akhir Copa America Centenario yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Messi yang mengambil sepakan penalti pertama untuk Argentina selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas masa tambahan menyaksikan tendangannya melambung tinggi. Chile sebelum itu turut gagal menyempurnakan sepakan pertama mereka selepas Sergio Romero menyelamatkan tendangan penalti pemain Bayern Munich, Arturo Vidal.

Selain Messi, pemain tengah Lucas Biglia turut gagal menyempurnakan sepakan penaltinya selepas diselamatkan oleh Claudio Bravo. Francisco Silva menyempurnakan tendangan penalti beliau untuk membantu Chile mengekalkan kejuaraan Copa America yang dimenangi mereka tahun lepas juga menerusi sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan bermain dengan sepuluh orang pemain selepas pengadil perlawanan, Heber Lopes memberikan kad merah kepada Marcelo Diaz dari Chile dan Marcos Rojo untuk Argentina.

Kali terakhir Argentina menjulang trofi utama adalah 23 tahun lalu di Copa America dan dilihat makin sukar untuk menjulang trofi di Piala Dunia 2018 di Russia dengan Messi bakal berusia 31 tahun ketika itu.

Other posts by