Football

#Mesexit: Lionel Messi mahu bersara dari pasukan kebangsaan

Lionel Messi memberitahu wartawan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk bersara dari pasukan kebangsaan selepas kekalahan Argentina kepada Chile dalam perlawanan akhir Copa America Centenario menerusi penentuan sepakan penalti.

Photo Credit: sbnation.com
Photo Credit: sbnation.com

Pemain bintang itu yang tewas perlawanan akhir kejohanan utama keempatnya dan kali ketiga dalam masa tiga tahun, berkata selepas terlepas banyak peluang untuk merangkul kejuaraan, beliau bersedia untuk mengundurkan diri.

Messi menjadi penjaring terbanyak Argentina sepanjang beraksi di Copa America Centenario, tetapi ianya tidak semudah yang disangka. Menambah apa yang terjadi dalam perlawanan akhir, beliau turut menyentuh mengenai masalah dengan persatuan bola sepak Argentina, walaupun tidak secara langsung selepas mengumumkan mengenai keputusannya untuk bersara dari pasukan kebangsaan.

Ianya menjadi tempoh beberapa tahun yang sukar untuk Messi bersama pasukan Argentina. Bermula dengan kekalahan di Copa America 2007 walaupun ketika itu dia bukan bergelar pemain bintang. Ketika bertanding di Piala Dunia 2014, tekanan mula dirasainya untuk menamatkan kemarau piala Argentina yang kali terakhir memenangi kejuaraan utama pada tahun1993. Namun Argentina gagal menyempurnakan misi mereka apabila tewas di masa tambahan kepada Jerman. Tahun lalu, La Albiceleste berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan utama (Copa America), tetapi Chile menjadi penghalang apabila mereka tewas dalam penentuan sepakan penalti. Skrip yang sama berulang dalam perlawanan hari ini, apabila Chile sekali lagi menjadi penghalang untuk Messi menjulang trofi bersama pasukan kebangsaan Argentina.

Messi dilihat begitu kecewa apabila melihat tendangan penaltinya melepasi palang dan dilihat menangis apabila Chile menyempurnakan sepakan penalti terakhir mereka untuk mengekalkan kejuaraan.

Setiap kekalahan di perlawanan akhir bermaksud semakin bertambah tekanan kepada Messi. Sebagai pemain terbaik dan ketua pasukan, kegagalan Messi menjulang trofi bersama Argentina sentiasa menjadi topik perbualan. Ramai pihak mengatakan, Messi tidak akan sebaris dengan Pele dan Maradona selagi tidak menjulang trofi bersama pasukan kebangsaan.

Namun, penjaga gol Argentina dan Manchester United, Sergio Romero tidak yakin Messi benar-benar mahu bersara dari pasukan kebangsaan. Dia merasakan komen Messi itu dikatakan mengikut emosinya ekoran kekalahan Argentina. Akan tetapi, apa yang dikatakan Messi kepada wartawan itu bukan suatu gimik. Dia memang mengatakan masanya bersama pasukan kebangsaan sudah berakhir.

Peminat bola sepak pastinya tidak mahu Messi bersara. Sebagai pemain terbaik dunia, kelibat Lionel Messi di atas padang bersama La Albiceleste pastinya dinantikan dalam Piala Dunia 2018 di Russia nanti.

Other posts by