Sadio Mane bakal jalani pemeriksaan kesihatan menjelang perpindahan bernilai £34 juta ke Liverpool

0
Photo Credit: The Guardian

Southampton sekali lagi menjadi tempat berbelanja bagi pasukan Liverpool selepas penyerang mereka Sadio Mane akan menjalani pemeriksaan kesihatan pada hari Isnin selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan bayaran yuran perpindahan sebanyak £34 juta.

Bayaran tersebut mungkin meningkat ke £36 juta, dan bakal menjadi pembelian termahal Liverpool, mengatasi bayaran mereka untuk Christian Benteke (£32.5 juta) dan Andy Carroll (£35juta)

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp mahu memperbaiki barisan serangannya dan Mane merupakan sasaran utama beliau musim panas ini.

Sebelum ini dikhabarkan the Saints mahukan £40 juta untuk melepaskan pemain Senegal itu.

Urusan perpindahan ini dijangka selesai pada hari Selasa ini.

Klopp dikatakan terpikat dengan aksi Mane ketika beliau menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-2 Southampton ke atas the Reds pada 20 Mac lalu di St. Mary.

Mane akan menyertai barisan serangan Liverpool yang terdiri daripada penyerang England Daniel Sturridge dan penyerang muda Belgium Divock Origi. Mane menjaringkan 11 gol dalam 37 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Liverpool turut dikhabarkan akan mengurangkan kerugian dari pembelian mahal Mane dengan menjual Christian Benteke yang bergelut di kelab berkenaan sejak berpindah dari Aston Villa pada musim lalu.

Mane bakal menyertai ramai bekas rakan sepasukannya yang berpindah dari Southampton ke Liverpool seperti Adam Lallana, Dejan Lovren, Rickie Lambert dan Nathaniel Clyne.

Selain daripada Mane, Southampton turut kehilangan pengurus mereka Ronald Koeman yang berpindah ke Everton dan Victor Wanyama yang menyertai Tottenham Hotspur menjelang Liga Perdana Inggeris 2016/17.

Mungkin Southampton patut menyebut “Show me the Mane” sebelum menjual Sadio Mane.