Football

Pulau Pinang harap import baru mampu ubah nasib

Pulau Pinang berharap pemain baru mereka Jeong Seok-Min dari Korea Selatan dan Ranti Martins dari Nigeria akan dapat membantu pasukan untuk keluar dari tangga terbawah Liga Super.

Seok Min yang merupakan pemain tengah, sebelum ini beraksi bersama gergasi Liga Korea, Pohang Steelers dan membuat penampilan bersama Jeonnam Dragons sebelum ke Pulau Pinang. Dia akan menggantikan pemain pertahanan Australia Brent Griffiths yang tercedera.

Penyerang berusia 30 tahun, Martins tiba di Malaysia dengan rekod mengagumkan selepas menjaringkan lebih 200 gol dalam 10 musimnya di India. Dia menggantikan tempat Osas Ikpefua, yang juga merupakan pengganti saat terakhir untuk menggantikan pemain Brazil Jose Tadeu yang tidak efektif sebelum musim bermula.

Walaupun masih baru di rantau ini, Martins telah beraksi menentang pasukan dari Malaysia dan Singapura dalam saingan Piala AFC ketika bersama Dempo (2004-2012) dan East Bengal (2014-15).

Dua lagi pemain import skuad Harimau Kumbang adalah pertahanan Brazil Reinaldo Lobo dan pemain tengah Argentina Matias Cordoba.

“Sasaran kami sekarang bukan untuk menjulang piala. Kami hanya mahu elakkan penyingkiran dan kekal di Liga Super,” jelas Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff ketika memperkenal pemain import baru mereka semalam.

Penukaran pemain import di pertengahan musim adalah salah satu perubahan besar dalam Penang FA selepas kegagalan mereka untuk layak ke Piala Malaysia.

Jurulatih dari Brazil Tiago Jacksen direhatkan sebelum ini dan Naib Presiden FAP Mohd Azizuddin Shariff meletakkan jawatan selaku pengurus pasukan selepas itu.

Bojan Hodak dan Nenad Bacina hadir untuk membantu skuad harimau kumbang apabila dilantik sebagai CEO pasukan dan ketua jurulatih.

Hodak mengesahkan bahawa akan ada satu lagi pemain baru menyertai pasukan sebelum jendela perpindahan ditutup pada hari Jumaat.

“Pemain Pulau Pinang dilihat sukar untuk menjaringka gol musim ini. Saya harap dengan penyertaan Seok-Min dan Martins akan menyelesaikan masalah tersebut,” ujar Hodak.

Pulau Pinang hanya mampu menang sekali dalam 12 perlawanan liga dan akan meneruskan saingan dengan bertemu pasukan meningkat naik T-Team di Kuala Terengganu pada hari Sabtu ini.

Other posts by