Football

Ong Kim Swee terkejut dengan keputusan Aidil dan Safiq

Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee hari ni menyatakan rasa terkejut beliau dengan keputusan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan ketua pasukan negara Safiq Rahim untuk bersara dari mewakili pasukan kebangsaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau menerusi laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ong Kim Swee berkata: “Sudah tentu saya terkejut dengan pengumuman kedua-dua pemain ini lewat petang semalam tetapi pada masa yang sama saya berasakan yang mereka tentunya sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan tersebut.

“Bagi saya, ia satu kerugian tetapi jika benar ini keputusan mereka, kita harus menghormatinya kerana sudah pasti mereka berdua telah pun berbincang dengan keluarga masing-masing sebelum membuat keputusan.”

Ong Kim Swee pastinya berdepan tugas sukar untuk mencari pengganti bagi kedua-dua pemain itu, namun beliau menyatakan bahawa dia akan menilai pemain-pemain yang beraksi dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super untuk menggantikan mereka.

Namun, jurulatih pasukan kebangsaan itu bersedia menerima mereka jika Aidil dan Safiq menarik balik keputusan itu dan mahu beraksi semula bersama pasukan kebangsaan tetapi ia akan dinilai berdasarkan prestasi semasa mereka.

Safiq Rahim dan Aidil Zafuan mengumumkan persaraan mereka dari pasukan kebangsaan pada petang semalam menerusi laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers dan menyatakan keputusan itu dibuat untuk memberi peluang kepada pemain baru untuk menyarung jersi Malaysia.

Other posts by