Uncategorized

Hadiah hari lahir untuk Jun Hao di Kejohanan Remaja Asia

Leong Jun Hao berjaya mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Remaja Asia sekaligus memberikan hadiah hari lahir paling manis untuknya.

Jun Hao yang baru mencecah umur 17 tahun semalam, menang mudah 21-12, 21-8 ke atas Pang Fong Pui dari Macao di pusingan kedua kejohanan berkenaan yang berlangsung di Pusat Latihan Badminton dan Sains Sukan CPB di Bangkok.

Pemain pilihan ke-14 itu yang memenangi gelaran remaja kebangsaan pada bulan Mei, mendapat bye di pusingan pertama. Jun Hao yang membuat penampilan pertama di kejohanan Remaja Asia ini akan bertemu pemain Korea Selatan Kim Moon Jun untuk merebut tempat ke suku akhir.

“Ia satu persiapan yang bagus untuk saya kerana pihak lawan saya tidak begitu kuat…saya rasa sangat bagus di gelanggang,” ujar Jun Hao.

“Ini merupakan kali pertama saya beraksi di Kejohanan Remaja Asia dan saya ada sasaran yang munasabah…Saya berazam untuk menewaskan pemain hebat China Sun Feixiang dahulu sebelum sasarkan lebih jauh.”

Feixiang, yang berjaya membantu China menjulang gelaran acara berpasukan campuran buat kali ketujuh pada hari Selasa lalu, merupakan pemain pilihan kelapan dan dijangka bertemu Jun Hao di suku akhir.

“Tetapi saya perlu lepasi halangan pihak lawan saya dari Korea dulu,” kata beliau.

Pemain pilihan keempat Lee Zii Jia turut menikmati permulaan mudah, menewaskan wakil Kazakhstan, Ikramzhan Yuldashev, 21-7, 21-8 untuk bertemu pemain Macao Lam Hou Him di pusingan ketiga.

Dua lagi wakil Malaysia – Tan Jia Wei dan Sim Fong Hau – turut mara ke pusingan ketiga.

Dalam acara bergu lelaki, dua pasangan negara – Chen Tang Jie-Hoo Pang Ron dan Chang Yen Jun-Ng Eng Cheong – berjaya mara ke pusingan kedua menyertai pilihan keenam kejohanan Ooi Zi Heng – Soh Wooi Yik yang mendapat bye di pusingan kedua.

Dalam acara perseorangan wanita, juara remaja dunia Goh jin Wei mendapat bye di pusingan pertama.

Dia akan disertai di pusingan kedua oleh M. Thinaah, S.Kisona dan Eoon Qi Xuan yang menang mudah di pusingan pertama.

Other posts by