Football

FAM rancang tiga perlawanan untuk Harimau Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee hari ini mengumumkan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa kelas “A” telah disahkan pada tarikh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September dan Oktober ini.

Skuad kendalian Ong Kim Swee akan berdepan Indonesia di Surabaya pada 6 September, disusuli pertemuan dengan Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober dan bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

Menurut beliau, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan pasukan telah memutuskan untuk mengadakan hanya satu perlawanan persahabatan pada tarikh kalendar FIFA pada September supaya pemain yang dipanggil tidak terlalu letih selepas mengharungi jadual liga domestik yang padat sepanjang Julai dan Ogos.

“Kami di pasukan kebangsaan mendapati para pemain akan mengharungi enam perlawanan sepanjang Julai (tiga perlawanan Liga Super dan tiga perlawanan Piala Malaysia) dan lapan perlawanan sepanjang Ogos (empat perlawanan Liga Super dan empat perlawanan Piala Malaysia).

“Jadi jika kami tetap meneruskan perancangan mengadakan dua perlawanan ketika kem latihan pusat skuad kebangsaan dari 29 Ogos hingga 6 September ini, ia dilihat hanya akan membebani para pemain yang dipanggil dan sebab itulah hanya satu perlawanan diatur iaitu bertemu Indonesia dan diharap para pemain dapat memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.

“Untuk tarikh kalendar FIFA pada Oktober pula, jadual liga domestik dilihat tidak begitu padat pada ketika itu  dan kita telah mendapatkan dua perlawanan persahabatan bertemu Singapura dan Afghanistan yang dilihat boleh dijadikan persiapan terbaik menjelang Piala Suzuki AFF 2016,” kata beliau dalam sidang media bulanan di Wisma FAM.

Kem latihan pusat terakhir menjelang Piala AFF Suzuki adalah pada 23 Oktober, sehari selepas Liga Super berakhir dan disusuli pemain yang selesai beraksi dalam final Piala Malaysia pada 31 Oktober.

Majlis undian bagi Piala Suzuki AFF 2016 yang dijadual berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember akan diadakan di Yangon, Myanmar pada 2 Ogos ini.

Other posts by