Bodybuilding

Malek Noor kecewa dengan atlet muda yang menggunakan steroid

Pemenang enam kali gelaran Mr. Asia Datuk Abdul Malek Noor merasa sedih dan kecewa dengan sebilangan atlet muda yang menggunakan dadah peningkat prestasi (steroid) untuk mencipta nama dalam bidang sukan.

Malek Noor ketika ditemui Bernama di majlis rumah terbuka UMNO bahagian Muar berkata, walaupun ramai atlet muda yang mengetahui bahawa steroid boleh menghancurkan masa depan mereka, mereka dilihat tidak ambil peduli kerana mahu meningkatkan populariti.

Beliau berkata, penggunaan steroid dalam bidang sukan, terutamanya sukan bina badan, bukan satu jaminan untuk berjaya kerana tindakan sedemikian akan merosakkan sukan bina badan itu sendiri.

“Mereka (atlet) perlu bersih dan bebas dari penggunaan dadah kerana kerajaan memang serius dalam menghapuskan ancaman dadah, terutamanya dalam bidang sukan. Mereka perlu sedar bahawa tiada jalan singkat untuk berjaya.

“Mereka perlu berkerja keras dan berlatih dengan lebih gigih serta komited untuk berjaya. Bukan dengan menggunakan steroid,” ujar beliau.

Malek Noor yang juga merupakan finalist dua kali Mr. Universe dalam kategori Heavyweight berkata Malaysia mempunyai ramai atlet berbakat tetapi ianya akan menjadi sia-sia jika mereka tiada disiplin dan tahap komitmen yang tinggi.

Beliau berkata, walaupun di era keemasan pada tahun 80-an, dia tidak menerima sebarang makanan tambahan atau kemudahan seperti atlet sekarang yang menerima sokongan dan bantuan dari kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Olimpik Malaysia, tetapi tidak mempunyai keinginan untuk menang.

“Kesungguhan atlet zaman kami sangat kuat. Walaupun banyak kekurangan, atlet zaman dahulu menunjukkan mental dan kebolehan fizikal yang kuat untuk berjaya. Mereka hanya sasarkan untuk menaikkan nama negara,” jelas beliau.

Atlet zaman sekarang bernasib baik kerana semua infrastruktur, kemudahan, sokongan termasuk sains sukan dan makanan tambahan telah disediakan dan insentif lumayan turut ditawarkan.

“Kerajaan telah berbelanja wang yang banyak untuk menjaga kebajikan mereka.

“Oleh itu, saya lihat tidak ada sebab untuk mereka tidak berjaya,” kata pemenang Olahragawan Negara 1985 itu.

 

Other posts by