Football

“Felda tidak patut ada pasukan bola sepak” – TMJ

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai TMJ, telah mendakwa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membazirkan duit rakyat dengan menubuhkan pasukan bola sepak dalam satu kenyataan di saat Felda United sedang bersaing rapat dengan Johor Darul Ta’azim merebut gelaran Liga Super Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi Johor Darul Ta’azim, Johor Southern Tigers, beliau berkata: “Felda telah ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk membasmi kemiskinan. Walau bagaimanapun, pada hari ini, wang yang sepatutnya digunakan oleh peneroka telah dibelanjakan secara sewenang-wenangnya untuk kontraktor tertentu dalam Felda dan juga membolehkan beberapa individu yang memegang jawatan tinggi dalam Felda membuat wang. Ini adalah kes yang jelas penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin. Pada saya, PDRM dan ATM pun tidak patut ada pasukan bolasepak kerana pasukan-pasukan ini juga menggunakan dana kerajaan.”

Selain itu, beliau juga memberi komen sinis terhadap persaingan di antara JDT dan Felda United dalam Liga Super: “Saya rasa ia akan menjadi persaingan yang sengit tetapi mereka ada peluang yang baik dan kelebihan. Mana saya boleh lawan, ini pasukan Dato Sri Najib. Gurau…. JDT pasukan yang kecil sahaja. Jadi saya rasa Felda mempunyai peluang yang sangat baik. Walau bagaimanapun, saya bangga kerana saya tidak menggunakan wang kerajaan yang sepatutnya milik rakyat untuk membina sebuah kelab bola sepak. Saya tidak membina stadium menggunakan wang peneroka atau wang dari kontraktor yang melobi bagi mendapatkan projek didalam Felda.”

JDT kini berada di tangga teratas Liga Super dengan 39 mata, dua mata mendahului pasukan Felda United yang menewaskan Selangor 2-1 di Shah Alam untuk terus memberi tekanan kepada pasukan dari Selatan itu.

Other posts by